Kyuhyun Curi Perhatian Nyanyi Lagu Ikonik Misha Omar, Bunga-Bunga Cinta
“Kembalilah kepadaku…Selamilah jiwa ini yang terluka…Ikatan kita berdua… Sayangilah diri ini…Belailah jiwa nan sepi..”
Salah seorang ahli kumpulan band lelaki Korea Pop (K-Pop) Super Junior, Kyuhyun mencuri perhatian ramai peminat selepas menyanyikan lagu milik vokalis tanah air, Misha Omar iaitu Bunga-Bunga Cinta dalam satu konsert yang berlangsung semalam.
Difahamkan, konsert berkenaan diadakan di Mega Star Arena bersempena jelajah Asia di Kuala Lumpur oleh penyanyi berusia 36 tahun itu.
Menerusi rakaman di platform TikTok, penyanyi kumpulan itu mendendangkan bait-bait lirik lagu ikonik penyanyi tersebut dalam versi tersendiri.
Berbaju t-shirt putih dan berseluar hitam, Kyuhyun mencuri perhatian peminat-peminat di Malaysia dengan persembahan tersebut.
@era.je Kak Mitch @mishaomar abang @gyuram88 Super Junior nyanyi lagi Bunga-bunga Cinta 😍 Power lah eh!!! #ERARadioNo1PalingLegit
“Mini Love” untuk peminat
Dia turut mendapat tepukan gemuruh oleh peminat yang teruja selepas lelaki dari Korea Selatan itu melakukan simbol ‘mini love’ di atas pentas.
Dalam pada itu, penyanyi asal Misha Omar berkata menerusi Astro Gempak, dia terkejut dan teruja selepas penyanyi K-Pop itu memilih lagunya untuk dipersembahkan kepada peminat,
“Saya tersengih-sengih, macam jatuh cinta. Kyuhyun membuat lagu ini terdengar lebih romantik,” katanya.
BACA: “Jammed Raya”, Tuan Rumah Murah Hati Benar Orang Ramai Guna Tandas
Untuk pengetahuan, lagu Bunga-Bunga Cinta pertama kali diterbitkan pada 2002 dan dipersembahkan oleh Misha Omar.
Ia merupakan ciptaan Allahyarham Adnan Abu Hassan dan pernah meraih juara pada Anugerah Juara Lagu ke-18 tahun 2003.
Super Junior Band
Untuk makluman, kumpulan Super Junior dianggotai oleh 10 ahli iaitu Leeteuk, Heechul, Yesung, Shindong, Sungmin, Eunhyuk, Siwon, Donghae, Ryeowook dan Kyuhyun sendiri.
Mereka membuat debut rasmi pertama pada 6 November 2005 dengan single Twins (Knock Out) di bawah SM Entertainment.
Lagu Pujaanku Masdo Dinyanyikan Artis K-Pop
Terdahulu tular ahli Kumpulan K-Pop N.SSign, Kazuta dan Junhyeok menyanyikan lagu yang dipopularkan kumpulan muzik tempatan Kugiran Masdo iaitu, Pujaanku.
Dalam klip yang dimuat naik di platform X @nssignscosmo mendedahkan ahli kumpulan itu mendendangkan salah satu album daripada Masdo itu.
Lebih menarik, setiap bait lirik tidak diterjemahkan sebaliknya dinyanyikan dalam bahasa asal iaitu Melayu.
Kedua-dua mereka juga menyanyikan lagu tersebut sambil menari secara berirama.
Susulan tular di media sosial, penyanyi asal lagu tersebut turut memberi reaksi terhadap nyanyian kumpulan K-pop itu.
Sumber: TikTok @era.je, Astro Gempak