Siakap Keli
Gunung Berapi Meletus, Kenapa Penerbangan Perlu Ditangguhkan? Ini Yang Anda Perlu Tahu
Gambar: AFP

Gunung Berapi Meletus, Kenapa Penerbangan Perlu Ditangguhkan? Ini Sebabnya

Gunung Berapi Meletus, Kenapa Penerbangan Perlu Ditangguhkan? Ini Sebabnya

Letusan gunung berapi boleh dikatakan antara bencana alam yang terjadi secara semula jadi di beberapa kawasan di dunia.

Seperti yang kita semua sedia maklum, apabila gunung berapi mulai meletus dan memuntahkan apa yang dikandungnya, kita wajar untuk berasa cemas atas beberapa alasan.

Menurut The Encyclopedia of World Problems and Human Potential, letusan gunung berapi seringkali menghembur keluar beberapa bahan yang dikenali sebagai tephra.

Bahan-bahan tephra bersaiz besar (biasanya berukuran lebih 64mm) dirujuk sebagai blok dan bom. Manakala objek tephra yang lebih kecil termasuklah lava cair yang dikenali sebagai lapili (2-64mm) dan abu (2mm).

Selain itu, letusan yang berlaku juga mampu mengeluarkan abu gunung berapi yang sangat kecil iaitu saiznya kurang daripada 0.01mm. Abu yang bersaiz sangat kecil adakalanya mampu berada dalam atmosfera untuk tempoh antara dua hingga tiga tahun selepas letusan.

Tephra mendatangkan pelbagai bahaya kepada aktiviti manusia

Menurut portal itu lagi, tephra yang mengandungi pelbagai objek boleh menghadirkan pelbagai risiko bahaya kepada aktiviti manusia.

Apabila bahan tephra masuk dalam atmosfera, situasi itu boleh menghasilkan kilat yang berbahaya kepada manusia. Manakala objek-objek tephra bersaiz besar apabila terlontar ke udara boleh menimpa mana-mana individu yang tidak bernasib baik.

Selain itu, bahaya juga boleh hadir apabila abu-abu yang berterbangan jatuh ke tanah dan mendap. Keadaan itu boleh mengganggu bekalan elektrik, talian komunikasi dan berpotensi menyebabkan kebakaran.

Abu yang terkumpul, misalnya di atas bumbung, melebihi had yang mampu ditampung struktur tersebut boleh menyebabkan keruntuhan berlaku.

Bukan itu sahaja, pendedahan terhadap abu boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti penglihatan kabur dan masalah pernafasan.

Biasanya, mereka yang tinggal di kawasan yang terjejas akan memakai topeng dengan penapis atau kain basah di atas hidung dan mulut untuk melindungi diri.

Berapa luas letusan gunung berapi merebak?

Apabila gunung berapi meletus, bahan letusan seperti abu, debu dan serpihan batu dikeluarkan dari kawah dengan daya letupan yang hebat.

Jarak bahan letusan dari gunung berapi merebak dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk ketinggian letusan, suhu udara, arah dan kecepatan angin.

Daya letusan yang kuat boleh mendorong tephra untuk mencapai lapisan udara yang lebih tinggi seperti stratosfera. Sekiranya berlaku, bahan letusan akan diterbangkan ke lokasi yang lebih jauh oleh angin kencang di kawasan tersebut. Ini menyebabkan bahan letusan merebak ke kawasan yang lebih luas.

Selain itu, suhu udara juga akan mempengaruhi jarak dan pengedaran bahan letusan. Semasa letusan, bahan panas dari dalam gunung berapi dilepaskan ke atmosfera. Ini meningkatkan suhu udara di sekitar kawasan letusan.

Peningkatan suhu ini menghasilkan daya angkat yang kuat yang mengangkat tephra lebih tinggi ke atmosfera dan membolehkannya merebak ke kawasan yang lebih luas.

Arah dan kelajuan angin juga turut menentukan seberapa luas kawasan yang akan terjejas dengan letusan yang berlaku. Angin bertiup ke arah tertentu akan membawa tephra ke arah tersebut, manakala kelajuan angin akan menentukan berapa cepat terphra ini tersebar di udara.

Oleh itu, ketinggian letusan, suhu udara, arah dan kelajuan angin adalah faktor utama yang menentukan jarak dan taburan bahan letusan dari gunung berapi.

Menurut WIRED, abu dan debu yang berterbangan biasanya jatuh ‘berdekatan’ dengan lokasi gunung berapi (jarak puluhan km).

Namun dalam keadaan tertentu, bahan-bahan ini juga boleh tersebar pada jarak mencecah ratusan bahkan ribuan kilometer dari lokasi letusan.

Gunung api meletus, perlu ke penerbangan ditangguhkan?

Dalam pada itu, abu gunung berapi memasuki atmosfera akan menghasil keadaan berdebu seolah-olah gugusan awan yang sedang terapung di udara.

Situasi tersebut seterusnya boleh mendatangkan bahaya yang serius kepada aktiviti pengangkutan udara, sekaligus mengganggu operasi penerbangan pesawat.

Debu dan partikel-partikel lain dalam awan tersebut boleh merosakkan enjin pesawat, mengehadkan penglihatan juruterbang serta mengganggu sistem navigasi dan komunikasi.

Oleh itu, biasanya operasi penerbangan yang melalui kawasan ‘berdekatan’ dengan lokasi letusan terpaksa ditangguh atau dibatalkan.

Operasi ini pula hanya disambung semula apabila pihak berkuasa penerbangan memberikan pelepasan.

BACA: Gunung Ruang Meletus, Indonesia Keluar Amaran Potensi Tsunami

Sumber: The Encyclopedia of World Problems and Human Potential

Sharifah Hannah Adibah