Siakap Keli
gunung berapi aktif indonesia
Kredit: Tribun Jogja

Ini 7 Gunung Berapi Paling Aktif Di Indonesia

Ini 7 Gunung Berapi Paling Aktif Di Indonesia

Indonesia hari ini merekodkan satu lagi kejadian gunung berapi iaitu Gunung Ruang yang terletak di Kepulauan Sulawesi. Susulan itu juga, Badan Geologi Kementerian Tenaga dan Sumber Daya Mineral (KemenESDM) telah menaikkan tahap aktiviti gunung berapi tersebut ke Tahap 4 (Awas).

Malah, amaran potensi tsunami turut dikeluarkan oleh Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG).

Bercakap mengenai gunung berapi ini, tahukah anda sebenarnya terdapat kira-kira 68 gunung berapi berstatus aktif di seluruh Indonesia, seperti yang dilaporkan Kompas baru-baru ini.

Perkara ini bukanlah satu perkara yang ganjil kerana kedudukan Indonesia itu sendiri berada di Lingkaran Api Pasifik.

Lingkaran Api Pasifik atau Ring of Fire merujuk kepada kawasan yang terletak mengelilingi Lautan Pasifik, yang mana kawasan ini memiliki banyak gunung berapi hasil pertembungan dua plat tektonik.

Maka tidak hairanlah negara jiran kita sering mengalami kejadian gempa bumi dan memiliki aktiviti seismik yang aktif.

Berdasarkan takrifan, gunung berapi aktif masih boleh meletus pada bila-bila waktu, sama ada boleh diramalkan ataupun sebaliknya.

Dalam 68 gunung berapi berstatus aktif di Indonesia, tujuh daripadanya merupakan paling paling aktif dan memiliki sejarah yang menggerunkan.

7 Gunung Berapi Paling Aktif di Indonesia

1. Gunung Merapi

Kredit: BPPTKG

Gunung Merapi berada di tengah Pulau Jawa iaitu di wilayah Yogyakarta dan Jawa Tengah. Berdasarkan laporan Tribun Jogja, gunung ini telah diisytiharkan sebagai gunung berapi paling aktif di Indonesia.

Sepanjang sejarahnya, Gunung Merapi telah meletus sebanyak 68 kali dan kali terakhir letusan paling dahsyat berlaku adalah pada tahun 2010.

2. Gunung Anak Krakatau

Kredit: Tribun Jogja

Gunung anak Krakatau telah terbentuk selepas Gunung Krakatau dilaporkan meletus pada tahun 1883. Gunung berapi ini terletak di tengah perairan di wilayah Lampung yang berada di antara selatan kepulauan Sumatera dan timur kepulauan Jawa. Ia dilaporkan sering mengalami letusan secara berkala.

3. Gunung Kelud

Kredit: Tribun Jogja

Gunung Kelud yang memiliki ketinggian kira-kira 1,731 meter ini terletak di Kediri, wilayah Jawa Timur. Mengikut catatan rekod, gunung berapi ini telah mengalami letusan lebih daripada 30 kali.

Manakala, letusan Gunung Kelud yang terakhir berlaku kira-kira 10 tahun lalu, iaitu pada tahun 2014.

4. Gunung Sinabung

Kredit: Tribun Jogja

Gunung berapi jenis stratovolkano ini terletak di Karo, berdekatan wilayah Sumatera Utara dengan ketinggian kira-kira 2,460 meter.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, gunung ini didapati meletus secara kerap dan boleh dikatakan meletus setiap tahun iaitu pada tahun 2018, 2019, 2020, dan 2021.

5. Gunung Kerinci

7 gunung berapi aktif
Kredit: Tribun Jogja

Gunung Kerinci terletak di kawasan yang menjadi asal usul namanya, Kerinci di wilayah Sumatera Barat, Indonesia. Dengan ketinggian 3,805 meter dari paras laut menjadikan gunung ini sebagai gunung berapi tertinggi di pulau Sumatera.

Gunung ini dilaporkan kali terkahir meletus pada awal tahun lepas, iaitu pada 11 Januari 2023.

6. Gunung Semeru

7 gunung berapi aktif
Kredit: Tribun Jogja

Gunung Semeru terletak di antara daerah Malang dan Lumajang yang terletak di wilayah Jawa Timur. Gunung ini memiliki ketinggian dalam lingkungan 3,676 meter dari paras laut dan terakhir kali meletus sekitar tahun 2022.

7. Gunung Bromo

7 gunung berapi aktif
Kredit: Tribun Jogja

Seperti Gunung Semeru, Gunung Bromo terletak di antara daerah Malang, Lumajang, Probolinggo dan Pasuruan di wilayah Jawa Timur.

Gunung yang memiliki ketinggian 2,329 ini telah mengalami letusan terbesarnya pada tahun 1974. Manakala, letusan terakhir dilaporkan berlaku pada 19 Julai 2019.

BACA: Bakal Dirobohkan Untuk Projek ECRL, Wanita Kongsi Kenangan Aidilfitri Terakhir Di Rumah

Sumber: Tribun Jogja

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma