Siakap Keli
fakta mengenai gunung ruang
Kredit: Liputan 6

Pernah Cetuskan Tsunami Pada 1871, Ini 6 Fakta Mengenai Gunung Ruang 

Pernah Cetuskan Tsunami Pada 1871, Ini 6 Fakta Mengenai Gunung Ruang 

Hari ini, kita dikejutkan dengan berita sebuah gunung berapi yang dikenali sebagai Gunung Ruang dilaporkan meletus di kepulauan Sulawesi, Indonesia.

Gunung Ruang merupakan gurung berapi jenis stratovolkano (berbentuk kon) yang terletak di perkampungan Tulusan, wilayah Sulawesi Utara.

Berdasarkan laporan Litupan 6, Gunung Ruang yang terletak di Kepulauan Sangihe itu memiliki ketinggian kira-kira 725 meter. Kehadiran gunung berapi ini sekali gus membentuk satu pulau tersendiri yang terpisah dari pulau lain.

Walaupun ia tidak terlalu tinggi jika dibandingkan dengan gunung-gunung lain, puncaknya masih dapat dilihat daripada Pulau Tagulandang, Sitaro di Sulawesi Utara.

Fakta mengenai Gunung Ruang

Sehubungan itu, terdapat beberapa fakta menarik yang anda perlu tahu berkenaan gunung berapi ini:

1. Letusan Pertama pada 1808

Berdasarkan catatan sejarah, letusan pertama Gunung Ruang dilaporkan berlaku pada tahun 1808. Sehingga ke hari ini, gunung berapi terbabit dilaporkan telah meletus lebih dari 10 kali.

Antaranya pada 1808, 1810, 1840, 1870, 1871, 1874, 1889, 1904, 1905, 1914, 1915, 1946, 1949, 2002 dan termasuk letusan pada hari ini.

Pada April 2022, Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bencana Geologi (PVBMG) telah mengubah status keaktifan Gunung Ruang daripada normal kepada waspada.

Perubahan status ini disebabkan PVMBG mendapati aktiviti vulkanologi di gunung berapi tersebut meningkat dari masa ke masa.

Manakala, peningkatan aktiviti Gunung Api Ruang yang dilaporkan pada Paras Dua (waspada) berubah menjadi Paras Tiga (Bahaya) sejak Selasa, 16 April 2024.

Kredit: BNPB

2. Ciri letusannya bersifat letupan

Memetik Antara News, Gunung Ruang memiliki ciri letusan bersifat letupan dan memanas selepas peningkatan aktiviti seismik gunung berapi dan awan abu.

Letusan bersifat letupan ini berlaku apabila magma yang lebih sejuk dan kental seperti Andesite telah mencapai pada kedudukan permukaan.

Selain itu, gas-gas yang terperangkap hasil daripada aktiviti gunung berapi di Gunung Ruang tidak dapat keluar dengan mudah.

Hal ini telah menyebabkan tekanan di dalam gunung berapi meningkat, sehingga mampu menghasilkan ledakan gas yang mampu melontarkan pecahan batu dan lava ke udara.

3. Letusan gunung berapi ini boleh mengakibatkan tsunami

Ketua PVMBG, Hendra Gunawan menjelaskan bahawa proses evakuasi terhadap penduduk yang menetap dalam lingkungan enam kilometer harus segera dilakukan jika Gunung Ruang mencapai status bahaya.

Hal ini kerana, catatan sejarah gunung berapi itu pernah merekodkan kejadian tsunami yang berlaku selepas ia meletus pada 1871.

Bencana itu berlaku di sebelah barat daya Pulau Thulandang di Kabupaten Siau Tagulandang Biaro. Memetik laporan Kompas.com, seramai 400 orang terkorban dalam kejadian tsunami setinggi 25 meter itu.

“Sejarah Gunung Ruang cukup rumit kerana tidak ada pola waktu letusan yang tetap dan selalu berubah-ubah. Apa yang serupa hanyalah letusannya yang bersifat letupan, lahar panas, dan terjadinya tsunami,” kata Hendra.

4. Letusannya turut mempengaruhi aktiviti gunung berapi berdekatan

Letusan Gunung Ruang turut mempengaruhi aktiviti gunung berapi yang berada berdekatan dengannya iaitu Gunung Awu.

Gunung Awu terletak kira-kira 153 kilometer daripada utara Gunung Ruang, yang turut memegang status bahaya. Seperti yang diketahui, gunung berapi tersebut telah mengalami peningkatan aktiviti seismik khususnya, gegaran vulkanik sejak kebelakangan ini.

Sungguhpun begitu, aktiviti-aktiviti seismik di gunung berapi ini tidak berakhir dengan letusan sehingga statusnya diubah menjadi bahaya pada 16 April.

5. Jenis gunung stratovulkano

Gunung Ruang termasuk jenis gunung berapi kon yang juga dikenali sebagai gunung berapi komposit atau stratovulkano.

Seperti gunung berapi stratovolkano yang lain, Gunung Ruang memiliki bahagian sisi yang agak curam dan lebih berbentuk kon daripada gunung berapi perisai.

Bahagian curam ini terbentuk daripada lava likat dan melekit yang tidak mudah mengalir. Oleh itu, lava terkumpul di sekeliling lohong dan membentuk gunung berapi dengan sisi yang curam.

Hal ini kerana, alliran lava yang membentuk gunung berapi itu sangat kental disebabkan mengandungi banyak silika. Lava cepat menyejuk dan mengeras sebelum tersebar jauh.

Menurut Badan Tinjauan Geologikal British (BGS), gunung berapi jenis ini cenderung untuk menghasilkan letupan disebabkan pengumpulan gas yang mampat dalam magma yang likat.

Kredit: Instagram

6. Jalur pendakian Gunung Ruang

Memetik daripada laman web Gunung Bagging, laluan pendakian gunung berapi ini dimulai dari Laingpatehi.

Oleh sebab Gunung Ruang merupakan gunung yang jarang didaki, keadaan jalur pendakian bergantung sepenuhnya pada rekod pendakian terakhir yang dilakukan sehingga ke puncak gunung terbabit.

Ini bermaksud, masa pendakian ke puncak gunung tidak dapat diramalkan dengan tepat disebabkan rekod pendakian yang kurang.

BACA: Bakal Dirobohkan Untuk Projek ECRL, Wanita Kongsi Kenangan Aidilfitri Terakhir Di Rumah

Sumber: Liputan 6, Oke News, Kumparan, Kompas

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma