Siakap Keli
Jururawat Tertiarap Tidak Sedarkan Diri Tepi Jalan, Punca Jadi Tanda Tanya
Sumber: Sinar Harian

Jururawat Masih Lengkap Beruniform Ditemui Tidak Sedarkan Diri Tepi Jalan

Jururawat Masih Lengkap Beruniform Ditemui Tidak Sedarkan Diri Tepi Jalan

Seorang jururawat wanita ditemui oleh orang awam dalam keadaan tertiarap tidak sedarkan diri di luar keretanya dengan enjin masih hidup di tepi jalan.

Menurut Sinar Harian, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 10 malam di Jalan Simpang Tiga Dangi, dekat Johol, Negeri Sembilan, pada Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintenden Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, mangsa berusia 30-an itu ketika ditemukan masih lengkap berpakaian uniform putih.

“Pihak kami menerima laporan kira-kira jam 11 malam yang memaklumkan orang awam menemui seorang jururawat wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai dirompak.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk diberikan rawatan lanjut,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Tambah beliau, mangsa ialah salah seorang petugas di HTAN sendiri. Malam itu, mangsa sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Durian Tunggal, Melaka melalui Jalan Dangi.

Berdasarkan keterangan awal, mangsa memaklumkan tidak dirompak tetapi cedera dan mengalami luka di bahagian kepala akibat dipukul. Siasatan awal di lokasi juga mendapati tiada barang peribadi mangsa yang hilang.

Bagaimanapun, mangsa buat masa ini sedang menerima rawatan di hospital. Pihak polis juga masih mendapatkan keterangan lanjut daripadanya mengenai kejadian sebenar.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan setakat ini kes dibuka mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata,” ujar beliau.

BACA: Lelaki Sindrom Down Melecur Disimbah Air Panas Dalam Lif

Sumber: Sinar Harian

Sharifah Hannah Adibah