Siakap Keli
10 hari cuti sedih
Kredit: Weibo

Rangkaian Pasar Raya Di China Ini Beri 10 Hari ‘Cuti Sedih’ Kepada Pekerja

Rangkaian Pasar Raya Di China Ini Beri 10 Hari ‘Cuti Sedih’ Kepada Pekerja

Sebuah rangkaian pasar raya di China, Fat Dong Lai memperuntukkan 10 hari ‘cuti sedih’ setahun kepada para pekerjanya, lapor The Straits Times.

Dalam satu pengumuman pada 26 Mac lalu, pihak pengurusan rangkaian pasar raya itu berkata permohonan cuti jenis ini tidak boleh ditolak oleh pengurus.

Taikun bagi perusahaan peruncitan di China, Yu Dong Lai menjelaskan bahawa setiap manusia akan merasa sedih.

“Setiap orang ada hari-hari sedih mereka, ini adalah lumrah manusia,” jelas beliau.

Yu Dong Lai difahamkan telah membuka premis perniagaan pertamanya pada 1995. Susulan itu, perniagaannya telah berkembang sehingga mencapai 12 cawangan di wilayah Henan.

Rangkaian perusahaan itu telah dianggap sebagai antara yang terbaik dalam industri pasar raya di China. Hal ini kerana, Fat Dong Lai dikenali dengan layanan yang luar biasa kepada para pelanggan.

Perkara ini termasuklah menjalankan pemeriksaan darah kepada pelanggan, penyelenggaraan beg tangan dan pemberian makanan kepada haiwan peliharaan.

“Menariknya, jika pekerja diberikan ‘cuti sedih’ ini, mereka akan merasa gembira semula.

“Ini bermakna, syarikat telah memberikan budi bicara dan sokongan yang padu kepada pekerja. Mereka juga dapat merasai kehidupan seimbang antara kerja dan peribadi,” jelas Yu semasa konvensyen pasar raya berkenaan di Henan.

Tambahnya lagi, para pekerjanya juga bebas untuk merancang masa untuk mengambil cuti.

Menurut Yu, pekerja Fat Dong Lai sudah menikmati kira-kira 40 hari cuti tahunan. Malah, pasar raya itu juga ditutup selama lima hari sewaktu musim Tahun Baru China.

Selain itu, para pekerjanya juga kebiasaaanya bekerja selama tujuh jam sehari dan lima hari seminggu. Ini bertentangan dengan budaya pekerjaan di China yang dikenali sebagai ‘Budaya 996’.

Secara normalnya, pekerja di kebanyakan syarikat di China akan bekerja dari 9.00 pagi hingga 9.00 malam serta enam hari seminggu.

Sungguhpun begitu, ini bukanlah kali pertama Fat Dong Lai mengejutkan orang ramai berkenaan inisiatifnya terhadap pekerja.

Sebelum ini, para pekerja layak menerima bayaran sehingga 5,000 yuan (RM3,297.94) atas masalah yang dialami di tempat kerja, termasuk cemuhan atau makian pelanggan.

BACA: Abu Al Sebaa, Lelaki Pemurah Tawar Makanan Percuma Kepada Jemaah Di Madinah Meninggal Dunia

Sumber: The Straits Times

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma