Didakwa Lakukan Amang Seksual Terhadap Remaja, Inspektor Polis Ditahan
Polis Kontinjen Johor telah menahan seorang pegawai kanan polis yang didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas remaja perempuan yang berusia 16 tahun.
Ketua Polis Johor, CP M. Kumar berkata, suspek yang berpangkat inspektor dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian didakwa melakukan perbuatan terbabit pada 22 April lepas.
Menurutnya, kejadian yang membabitkan remaja itu berlaku sekitar 6.00 petang di Taman Johor Raya, Johor Bahru.
Ujarnya lagi, tangkapan telah dibuat terhadap suspek yang berusia 29 tahun di kawasan Seri Alam untuk siasatan lanjut.
“Turut dirampas daripada suspek, satu unit telefon bimbit beserta kad SIM yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes disiasat.
“Permohonan reman terhadap suspek dibenarkan selama tempoh 6 hari mulai 23 April 2024 sehingga 28 April 2024.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.
Kumar menambah, jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.
“Polis Kontinjen Johor komited dalam usaha untuk memerangi masalah integriti serta salah laku jenayah dalam kalangan pegawainya demi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia.
“Mana-mana pegawai yang dipercayai melakukan jenayah akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi berlandaskan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.
Kumar turut menasihati orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi, sehingga mampu mengganggu proses siasatan.
Orang awam juga boleh menyalurkan maklumat berkaitan jenayah yang berlaku ke talian hotline Polis Johor (+60192792095).
Bukan itu sahaja, orang awam juga boleh menghubungi talian bilik gerakan Ibu Pejabat Kontinjen Johor (07-2212999).
https://www.facebook.com/PolisJohor/posts/pfbid02HssFarxsk4zsLaY33os13VRU3uf3sNrCktfPgMsNweH5fuBmZMpTwAhCDN6Dnyaol
BACA: Betul Ke Isi Minyak “Full Tank” Merugikan? Ini Penjelasan Pakar
Sumber: Polis Johor via Facebook