SME Corp. Malaysia Sumbang RM10,000 kepada Tabung Kemanusiaan Palestin
KUALA LUMPUR, 24 April 2024 – SME Corp. Malaysia telah menyerahkan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima hari ini. Sumbangan telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, YBrs. Encik Rizal bin Nainy kepada Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, YBhg. Datuk Seri (Dr.) Syed Hussian Aljunid semasa Majlis Ramah Mesra bersama Rakan Strategik sempena sambutan Aidilfitri anjuran SME Corp. Malaysia di Platinum Sentral, KL Sentral.
Majlis tersebut diadakan bagi meraikan rakan-rakan strategik SME Corp. Malaysia yang telah turut sama membantu SME Corp. Malaysia dalam meningkatkan pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Selain itu, Majlis yang diadakan setiap tahun ini juga membolehkan SME Corp. Malaysia mengukuhkan hubungan kerjasama dan mengeratkan ukhwah sedia terjalin bersama rakan-rakan strategik yang terdiri daripada Kementerian, Agensi dan sektor swasta.
YBrs. Encik Rizal bin Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia berkata, “SME Corp. Malaysia sebagai Agensi Penyelaras Pusat PMKS komited untuk menyelaras dan melaksanakan program pembangunan PMKS dengan kerjasama Kementerian dan Agensi berkaitan serta sektor swasta. Sokongan padu daripada rakan-rakan strategik SME Corp. Malaysia tentunya dapat membantu dalam memperluaskan jangkauan kami kepada PMKS di seluruh negara”.
Mengulas berkenaan sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima, beliau berkata, “Sumbangan Wakalah kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima hari ini adalah tanda sokongan dan solidariti SME Corp. Malaysia kepada rakyat Palestin sejajar dengan semangat Malaysia MADANI yang menyokong keamanan sejagat”.
Selain sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima, sumbangan Wakalah SME Corp Malaysia juga telah disampaikan kepada dua (2) pusat Tahfiz iaitu Maahad Tahfiz Al-Quran Misbahul Falah dan Maahad Tahfiz Darul Muhibbin dari Taman Keramat, Kuala Lumpur.
Hadir sama semasa Majlis Ramah Mesra bersama Rakan Strategik SME Corp. Malaysia adalah YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Dato’ Ramanan Ramakrishnan, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YBhg. Datuk Haji Zamri bin Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Usahawan) KUSKOP, YBrs. Puan Noor Afifah binti Abdul Razak, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pemantauan) KUSKOP, YBhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Bernard Giluk Dompok, Pengerusi SME Corp. Malaysia dan YBrs. Encik Rizal bin Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia.