Siakap Keli
cef tariq helou meninggal
Gambar: LIANHE ZAOBAO / Straits Times

Cef Terkenal Singapura, Tariq Helou Meninggal Dunia Pada Usia 29 Tahun

Cef Terkenal Singapura, Tariq Helou Meninggal Dunia Pada Usia 29 Tahun

SINGAPURA — Cef ternama Singapura, Tariq Helou dilaporkan meninggal dunia secara mengejut pada 25 April lalu di usia 29 tahun, lapor The Straits Times semalam.

Bagaimanapun, berita mengenai kematiannya dilaporkan pada Sabtu dan punca kematian masih belum diketahui.

Difahamkan, cef berdarah Jepun, Cina dan Lubnan itu mengusahakan sebuah restoran, Fleurette sejak 2020, yang hanya menawarkan 18 tempat duduk di Rangoon Road.

Ibu mendiang, Catherine Yong memberitahu bahawa restoran milik anaknya akan terus beroperasi seperti biasa.

“Saya telah bercakap dengan kakitangan Fleurette dan mereka bersetuju untuk bekerja buat masa ini,” katanya.

Berita pemergian Tariq mendapat perhatian ramai termasuk cef-cef dari seluruh dunia yang menzahirkan kesedihan dan tidak percaya.

“Dia seorang cef yang berbakat dan masih muda. Sangat menarik untuk melihatnya berkembang sejauh mana. Pemergiannya membuatkan saya sangat terkejut dan sedih,” kata Cef Willin Low, 52.

Sementara itu, Cef Perancis Julien Royer, 42,  yang juga pemilik Odette menyifatkan dia menyukai perwatakan yang dimiliki oleh mendiang.

“Beberapa kali saya bertemu Tariq di Odette atau Fleurette, atau di tempat lain, dia sentiasa sangat baik dan merendah diri, seorang individu yang bekerja keras dan bersemangat.

“Semoga dia berehat dengan tenang,” kata cef yang pernah dianugerahkan tiga bintang Michelin di Galeri Nasional.

BACA: Hampir Menang Setiap Peraduan, Lelaki Kongsi Hadiah Hasil Sertai “Contest” Raih Perhatian Ramai

Sebelum ini, mendiang dalam temu bual bersama The Straits Times pada 2020 memberitahu, dia merupakan anak sulung daripada empat adik beradik, seorang adik lelaki dan dua adik perempuan.

Ditanya mengenai penglibatannya dalam masakan, Tariq mula memasak pada usia tiga tahun, dengan menggoreng telur tanpa kebenaran ibunya.

“Saya membesar dengan melihat ibu saya memasak dan sering tinggal di rumah nenek yang berasal dari Jepun,” kata mendiang.

Tariq melanjutkan pelajarannya dalam bidang kulinari di Switzerland, dan bekerja di sana sebelum beralih angin ke Perancis, Jepun serta kembali semula Singapura.

Di Singapura, mendiang menguruskan sebuah kelab malam sebelum membuka Fleurette, restoran miliknya yang berjaya menarik perhatian pelanggan dengan hidangan yang cukup elegan.

Menurut platform pelancongan Explore Worldwide, beliau dinamakan “cef paling banyak dicari” dalam enjin carian Google pada 2024.

Pada 2023, beliau memperoleh 1.62 juta carian di Google, yang menyaksikan jumlah carian itu lebih daripada 1,700 cef di seluruh dunia dari November 2022 hingga Oktober 2023.

Berdasarkan ranking cef dunia, Tariq Helou menduduki di tangga ketujuh dunia di bawah Gordon Ramsay cef dari British dan Jamie Oliver yang berada di carta pertama dan kedua.

Sumber: The Straits Times

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?