Siakap Keli
Beroperasi Selama 86 Tahun
Kredit: AFP

Selepas 86 Tahun Beroperasi, Penerbitan Majalah Reader’s Digest UK Bakal Ditamatkan

Selepas 86 Tahun Beroperasi, Penerbitan Majalah Reader’s Digest UK Bakal Ditamatkan

Penerbitan majalah terkemuka, Reader’s Digest UK dilapor akan dihentikan selepas 86 tahun beroperasi, lapor Press Gazette.

Ketua Pengarang Reader’s Digest, Eva Mackevic mengumumkan perkara tersebut menerusi Linkedin pada petang Isnin lepas.

Menurut Eva Mackevic, syarikat berkenaan tidak dapat menahan tekanan kewangan serta landskap penerbitan majalah semasa.

Sebelum ini, Reader’s Digest edisi Kanada turut dihentikan pada penghujung tahun lalu kerana penurunan hasil jualan iklan, peningkatan kos pengeluaran serta penghantaran.

Reader’s Digest UK, yang memegang lesen daripada syarikat induk di Amerika Syarikat pernah berdepan dengan fasa pergolakan sebelum ini.

Pada 2010, syarikat itu bderdepan masalah defisit dana pencen berjumlah £125 juta (RM698.4 juta).

Ketika berada dalam fasa pergolakan tersebut, majalah itu kemudian diselamatkan oleh Better Capital. Syarikat itu membayar sebanyak £14 juta untuk pengambilalihan tersebut sebalum melabur dana tambahan sebanyak £9 juta.

Bagaimanapun pada 2013, Better Capital terpaksa memecat kira-kira 95 orang daripada 120 orang kakitangan selepas menutup bahagian peruncitan dan terus menanggung kerugian.

Empat tahun kemudian, Better Capital terpaksa menjual majalah tersebut pada harga hanya £1 sahaja kepada sebuah venture capitalist yang diketuai oleh Mike Luckwell.

Mike ketika itu mempunyai visi untuk memulihkan dan mengembangkan bahagian peruncitan Reader’s Digest serta membawa jenama itu meneroka sektor perkhidmatan kewangan.

Namun begitu, Mike membuat keputusan untuk menjual majalah terbabit kepada bekas Ketua Eksekutif Reader’s Digest, Gary Hopkins pada tahun 2o18.

Sejarah penerbitan Reader’s Digest

Memetik portal rasmi Reader’s Digest, majalah itu diasaskan di AS oleh pasangan suami isteri iaitu DeWitt Wallace dan Lila Wallace di ruang bawah tanah Greenwich Village pada 1922.

DeWitt ketika itu menyedari orang ramai mahukan maklumat tetapi tidak tahu tahu untuk memilih yang mana kerana lambakan penerbitan yang ada.

Oleh itu, dia mula mencari artikel-artikel terbaik yang diterbitkan dalam pelbagai penerbitan dan mengumpulnya dalam satu majalah yang dikenali hari ini sebagai Reader’s Digest.

Setiap isu yang dikeluarkan mengandungi 31 artikel dengan sasaran satu artikel dibacakan setiap hari dan satu isu diselesaikan dalam masa sebulan.

Dalam tempoh lima tahun penerbitan sahaja, pasangan Wallace berjaya menjual sehingga 30,000 salinan majalah tersebut.

Menjelang 1940, Reader’s Digest berjaya dijual lebih 1 juta salinan setiap bulan dan muncul sebagai majalah paling popular di Amerika Syarikat.

BACA: Program IPR ‘Durian Runtuh’ Kepada Suri Rumah, Ibu Tunggal Jana Pendapatan Lumayan

Sumber: Press Gazette, Reader’s Digest

Athirah

When nothing goes right, go left.