Siakap Keli
acara larian ultra

Minat Dari Sekolah, Wanita Kental Anjur Acara Larian Ultra Walau Berdepan Cabaran

Minat Dari Sekolah, Wanita Kental Anjur Acara Larian Ultra Walau Berdepan Cabaran

Kalau sesiapa perasan, acara sukan larian ekstrem mula menjadi satu fenomena dalam kalangan masyarakat, khususnya komuniti larian.

Pada 10 tahun akan datang, kebanyakan acara larian yang hanya bermain dalam lingkungan jarak lima hingga sepuluh kilometer.

Agak jarang untuk melihat acara larian yang mempertaruhkan jarak trek melebihi 20 kilometer.

Namun begitu, sejak kepesatan bidang teknologi maklumat pada masa kini, acara sebegini telah menjadi satu perkara yang lazim dalam kalangan rakyat Malaysia.

Malah, komuniti larian jarak jauh juga semakin berkembang dari hari ke hari. Perkara ini tidak mudah jika tiada ‘orang kuat’ di sebalik acara-acara larian jarak jauh ini.

Salah seorang individu penting yang memperkenalkan acara larian dalam industri sukan Malaysia adalah seorang wanita yang berjiwa besar.

Suzie Widyawati, seorang wanita yang berusia 43 tahun yang juga dikenali sebagai salah seorang pengarah Comrades All Star Solution (#TheComrades), sebuah pasukan yang bertanggungjawab menganjurkan acara-acara larian ultra di Malaysia.

acara larian ultra

Beliau merupakan graduan Sarjana Muda Pendidikan dengan Kepujian dalam Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Difahamkan, wanita asal Sarawak ini merupakan seorang yang minat bersukan sejak kecil dan menggemari acara larian sejak di bangku sekolah.

“Zaman sekolah, saya terlibat sebagai seorang atlet, aktif bersukan lebih kepada acara 100 meter, 200 meter.

“Dengan erti kata lain, saya merupakan seorang sprinter (pelari pecut) pada zaman sekolah,” jelasnya ketika ditemubual pihak Siakap Keli.

Capai kepuasan yang luar biasa ketika sertai acara larian ultra di luar negara

Apabila menginjak dewasa, Suzie telah menceburi beberapa minat lain dalam dunia sukan lasak seperti mendaki gunung, larian jarak jauh dan sebagainya.

Namun begitu, kebanyakan acara larian di Malaysia hanya bermain dalam lingkungan lima kilometer hingga 10 kilometer sahaja pada ketika itu.

“Pada masa itu, kita cuma ada acara larian untuk fun run sahaja. Dalam 10 kilometer, dengan erti kata lain short distance.

“Pada masa yang sama, kita ada terlihat beberapa iklan dari luar negara untuk acara larian lebih daripada 50 kilometer,” ujarnya.

Dengan ini, Suzie dan beberapa rakannya telah menyertai beberapa acara larian ultra di luar negara seperti di Singapura, Thailand, Hong Kong.

“… dan apabila kita berlari melebihi 50 kilometer ini, dia ada satu kepuasan yang kita sendiri tidak dapat ungkapkannya,” jelasnya.

Justeru, timbul idea untuk membawa acara larian ini ke negara kita agar lebih banyak orang di sini merasai kepuasan yang sama seperti apa yang dirasainya.

Sudah semestinya, perjalanan Suzie dan pasukannya dalam menawarkan perkhidmatan dan kemahiran dalam acara sukan tidak lancar seperti di harapkan.

Seperti menempuh sebuah larian itu sendiri, pelbagai cabaran dan dugaan yang dialami ketika ingin merealisasikan impian mereka untuk membawa acara larian ultra ke tanah air sendiri.

Untuk mengetahui kisah Suzie dan #TheComrades dengan lebih lanjut, anda boleh menonton video pada pautan di bawah.

Bagi sesiapa yang ingin menyertai acara larian ultra anjuran TheComrades ataupun mengikuti perkembangan semasa berkenaan kumpulan ini, anda boleh mengikuti halaman Facebook The Comrades untuk maklumat lebih lanjut.

BACA: Hasrat Buat Kejutan Tak Kesampaian, Bapa Meninggal Sebelum Restoran Dilancarkan

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma