Siakap Keli
Malaysia Dilanda 'Demam' Badminton
Kredit: Bernama

Malaysia Dilanda ‘Demam’ Badminton, Ketahui Sejarah Piala Thomas & Piala Uber

Malaysia Dilanda ‘Demam’ Badminton, Ketahui Sejarah Piala Thomas & Piala Uber

Kejohanan Piala Thomas merupakan kejohanan badminton bertaraf antarabangsa yang diadakan bagi pasukan lelaki.

Menurut portal BWF Thomas & Uber Cups, Piala Thomas merupakan trofi berwarna perak dengan ketinggian 71cm, menjadi hadiah utama dalam Kejohanan Piala Thomas.

Trofi ini terdiri dari sebuah cangkir di atas alas, dengan sosok pemain di atas penutupnya. Ia dicipta khas oleh Atkin Bros dari London dan dianugerahkan kepada juara pasukan badminton lelaki terbaik dunia.

Tambah portal itu lagi, kejohanan ini dinamakan ‘Piala Thomas’ sempena Sir George Thomas, seorang legenda dalam badminton dan juga Pengasas-Presiden Persatuan Badminton Antarabangsa (kini BWF), yang mahukan badminton mempunyai versi Piala Davis sendiri dalam tenis.

Difahamkan, Sir George mencadangkan idea untuk kejohanan berpasukan lelaki antarabangsa pada tahun 1939, namun Perang Dunia II tercetus ketika itu.

Bagaimanapun idea tersebut masih berjalan dan ketika mesyuarat agung tahunan pertama tahun 1946, kejohanan lelaki dirancang bagi edisi 1948-49.

Kejayaan negara Asia dalam kejohanan Piala Thomas di peringkat kebangsaan

Dalam Kejohanan Piala Thomas, setiap negara dibahagikan kepada empat zon, iaitu Pan Amerika, Asia (Timur dan Barat), Australasia dan Eropah.

Pertandingan diadakan tiga tahun sekali, manakala formatnya terdiri daripada pertarungan terbaik sembilan pusingan, iaitu lima perseorangan dan empat beregu.

Malaysia yang sebelumnya dikenali sebagai Malaya telah memenangi kejohanan pertama dengan menumpaskan Denmark 8-1 pada perlawanan akhir.

Ketika itu, Sir George menyampaikan trofi kepada Lim Chuan Geok yang merupakan kapten skuad badminton dari Malaya.

Sejak itu, kejohanan Piala Thomas menyaksikan banyak pertempuran hebat dalam arena sukan badminton.

Malaya menyapu bersih tiga edisi pertama, tetapi menjelang tahun 1957-58, Indonesia bangkit mengalahkan semua pihak lawan selama dua dekad.

Namun, kegemilangan Indonesia ‘goyah’ apabila pada kejohanan edisi 1966-67, Malaysia diberikan kemenangan kerana kacau-bilau penonton dalam perlawanan akhir di Jakarta.

Menurut portal BWF Thomas & Uber Cups, sehingga 1966-67, pemenang antara-zon perlu menentang juara bertahan dalam perlawanan akhir yang dikenali ‘Challenge Round’ bagi mendapatkan trofi. Bagaimanapun, selepas tahun itu, Challenge Round dihapuskan.

Dalam pada itu, penglibatan China dalam persada antarabangsa pada awal 1980-an menyaksikan kegemilangan China dalam arena sukan badminton. China membuktikan bahawa mereka sudah merupakan pemenang dunia apabila debut sebagai juara menentang Indonesia.

Sementara itu, pada edisi seterusnya (1984), dua perubahan penting dalam arena sukan badminton dibuat. Piala Thomas diadakan serentak dengan Piala Uber (kejohanan badminton pasukan wanita) setiap dua tahun, dan pertarungan akan dilakukan dalam lima pertandingan.

Bukan itu sahaja, lebih banyak perubahan dalam format kelayakan dibuat dalam edisi seterusnya.

BACA: Macam Tengah Terbang, Atlet Ski Jepun Cipta Rekod Lompat Sejauh 291 Meter

Sumber: BWF Thomas & Uber Cups

Athirah

When nothing goes right, go left.