Siakap Keli
tips jawab soalan temuduga
Gambar Hiasan

Tips Jawab Soalan Temuduga “Apakah Kekuatan Diri Anda?”

Tips Jawab Soalan Temuduga “Apakah Kekuatan Diri Anda?”

Melangkah dalam dunia pekerjaan bukanlah suatu perkara yang mudah. Ia melibatkan perjalanan panjang yang penuh cabaran, termasuklah berbagai proses yang perlu dilalui.

Antaranya sudah pasti proses temuduga yang kadang kala dianggap agak ‘mengerikan’ bagi sesetengah pihak, terutamanya bagi mereka yang baru memulakan langkah dalam membangun kerjaya.

Meskipun mungkin sudah biasa dengan soalan-soalan yang bakal diajukan, setiap calon temuduga tetap saja ‘tidak senang duduk’ menunggu giliran menjejakkan kaki ke dalam bilik temu duga.

Dalam sesi temu duga, calon kerap dihadapkan dengan soalan-soalan standard yang sering kali ditanya oleh panel temuduga.

Walaupun mungkin telah menghadiri berpuluh-puluh temu duga yang berbeza, kemungkinan besar calon akan berhadapan dengan soalan yang sama berulang kali.

Selain soalan asas seperti pengenalan diri, latar belakang pendidikan, pengalaman kerja dan kelemahan diri, soalan tentang kekuatan diri juga ‘hangat’ dalam sesi temuduga.

Soalan-soalan ini mungkin biasa, tetapi apa yang akan membezakan kita daripada calon temuduga lainnya sudah pasti jawapan ‘solid’ dan meyakinkan yang boleh kita berikan.

Untuk menjawab soalan tentang kekuatan peribadi dengan berkesan, adalah penting untuk menyelaraskan jawapan kita dengan keperluan pekerjaan yang ditawarkan.

Dr. Syed Faizal, seorang pakar komunikasi, berkongsi strategi menjawab soalan kekuatan diri semasa temuduga menerusi TikTok peribadi beliau, @drsyedfaizal.

@drsyedfaizal

♬ original sound – Dr. Syed Faizal – Dr. Syed Faizal

Jawab soalan berdasarkan keperluan jawatan yang dipohon, ingat tujuan utama hadiri temuduga

Berdasarkan video tersebut, Dr. Syed Faizal mencadangkan agar calon menyatakan kekuatan diri berdasarkan job opening atau job description yang dinyatakan dalam iklan jawatan.

Sebagai contoh, jika calon menghadiri temu duga bagi jawatan kerani, kekuatan yang mungkin boleh dinyatakan adalah seperti berkebolehan menyediakan dokumentasi dalam masa satu jam, atau berkemahiran menggunakan perisian Microsoft Office seperti Word, Excel dan PowerPoint.

Sebaliknya, adalah penting untuk mengelak daripada menyatakan kekuatan yang tidak relevan dengan jawatan yang ditawarkan, seperti pengalaman menjadi tokoh kepimpinan atau kebolehan melakukan presentation di universiti.

Menurut beliau, calon perlu sentiasa ingat bahawa matlamat utama menghadiri temu duga adalah untuk mendapatkan pekerjaan yang ditawarkan.

Dengan memahami dan menyelaraskan kekuatan kita dengan keperluan pekerjaan yang diingini, kita boleh meningkatkan peluang kita untuk berjaya dalam sesi temu duga.

Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua, khususnya para graduan yang masih berjuang membina kerjaya.

BACA: Bapa Rogol Anak Kandung Sejak Lapan Tahun Lalu Hingga Lahir Dua Anak

Sumber: Dr. Syed Faizal via TikTok

Sharifah Hannah Adibah