Siakap Keli
geran tanah laminate
Gambar: Facebook

Baru Tahu, Rupa-rupanya Ini Sebab Tak Boleh “Laminate” Geran Tanah

Baru Tahu, Rupa-rupanya Ini Sebab Tak Boleh “Laminate” Geran Tanah

Geran adalah dokumen bukti pemilikan secara rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan. Dalam dokumen ini terkandung pelbagai maklumat seperti butiran hartanah berhubung status pemilikan.

Sekiranya terdapat urusan seperti pertukaran nama pemilik, pembahagian lot tanah dan sebagainya perlu melalui Pejabat Tanah.

Disebabkan ia merupakan dokumen penting, ramai orang mahu helaian-helaian kertas ini kekal terjaga lama. Jadi, ada yang mengambil jalan untuk “laminate” dokumen ini.

Tahukah anda sebenarnya geran anda akan dikategorikan sebagai “Geran Rosak” jika memilih untuk laminate meskipun cara tersebut nampak kemas?

Sebelum itu, anda perlu mengetahui apa itu hakmilik tanah terlebih dahulu.

Apa itu hakmilik tanah

geran tanah laminate
Gambar: Facebook

Hakmilik ialah hasil terakhir kepada pemberimilikan atau pindahmilik. Ia menjadi bahan bukti keempuyaan tanah, petik Pejabat Tanah Perak.

Pada awalnya, surat ini mengandungi maklumat pemilik dan di mana tanah ia milik. Tetapi terdapat juga maklumat lain dalam dokumen itu seperti jumlah cukai tahunan, syarat-syarat dan sekatan-sekatan yang dikenakan.

BACA: Antara Lima Terbaik Dalam Program Mencari Ramli, Ini Fakta Tentang Faisal Halim

Umumnya, status pemilikan tanah diukur menerusi nombor lot, mukim dan daerah.

Kenapa tak boleh “laminate” geran tanah?

Menurut Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Selangor, mana-mana geran tanah  telah di “laminate” akan dikategorikan sebagai “Geran Rosak’.

Perkara ini membuatkan pemilik perlu memohon semula hakmilik tersebut. Berikut adalah cara permohonan hakmilik tanah.

Cara mohon hakmilik

Untuk makluman, permohonan hakmilik tanah terbahagi kepada tiga iaitu Permohonan Hakmilik Hilang, Permohonan Hakmilik Rosak dan Permohonan Hakmilik Hancur.

Gambar: BERNAMA

Permohonan hakmilik rosak

Hakmilik Rosak merupakan hakmilik yang telah dianggap rosak akibat bencana atau dimakan usia atau telah di “laminate” kan.

Permohonannya sama seperti permohonan hilang iaitu Hakmilik Sementara (HS(D)) selama tiga bulan dan Hakmilik Kekal (GRN dan PN) selama enam bulan.

Bagi langkah permohonan, pemohon perlu membawa hakmilik yang rosak itu ke jabatan Pejabat Tanah untuk diproses permohonan gantian hakmilik.

Difahamkan, tempoh proses penggantian hakmilik rosak ini, ia mengambil masa dua minggu, Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Selangor.

Permohonan hakmilik hilang 

Pemohon perlu mengetahui permohonan hakmilik hilang adalah hakmilik yang dipegang oleh tuan tanah atau pihak yang berkepentingan telah hilang di dalam simpanan mereka samada hilang disebabkan kecurian atau hilang disebabkan kecuaian (miss place).

BACA: Piala Sumbangsih: JDT Harap Selangor FC Pertimbang Semula Isu Tidak Hadir

Permohonan ini terbahagi kepada dua jenis iaitu Hakmilik Sementara (HS(D)) dan Hakmilik Kekal (GRN dan PN).

Tempoh permohonan kedua-dua jenis ini adalah berbeza, HS(D) selama tiga bulan manakala GRN dan PN selama tempoh enam bulan.

Tempoh ini juga adalah sama dengan permohonan bagi hakmilik rosak.

Bagaimanapun, senarai semak ringkas permohonan ini dipecahkan kepada individu, syarikat swasta atau firma guaman dan Jabatan Kerajaan atau Badan berkanun (yang tidak berobjektifkan keuntungan).

Berikut adalah senarai dokumen yang diperlukan mengikut pecahan;

Permohonan individu

  1. Salinan Asal Laporan Polis (disahkan oleh balai polis berkenaan) dan  nombor hakmilik yang hilang dengan lengkap di dalam laporan polis.
  2. Salinan kad pengenalan pengadu laporan polis.
  3. Surat akuan sumpah pemilik atau pemilik-pemilik bersama yang disetemkan (RM10.00).
  4. Salinan kad pengenalan pemilik atau pemilik-pemilik bersama.
  5. Sijil carian rasmi (tempoh sah laku dua minggu.)
  6. Salinan sijil kematian atau salinan will @ wasiat dan surat akuan sumpah waris yang disetemkan (RM10.00) sekiranya pemilik atau pemilik-pemilik bersama telah meninggal dunia.
  7. Salinan resit cukai tanah dan cukai taksiran terkini yang telah dibayar.
  8. Surat akuan sumpah dari pihak-pihak yang berkepentingan berdaftar ke atas hakmilik dan salinan kad pengenalannya serta disetemkan (RM10.00).
  9. Surat kebenaran dari pemilik kepada wakil serta surat akuan sumpah wakil dan disetemkan (RM10.00) serta kad pengenalan.
  10. Sekiranya melalui peguam, salinan kad pengenalan peguam dan akuan sumpah peguam yang menguruskan permohonan.
  11. Bayaran permohonan proses RM 430.00 (Hakmilik Sementara) atau RM 440.00 (Hakmilik Kekal).
  12. Sila bawa kad pengenalan penyerah dokumen semasa membuat perserahan dan perserahan melalui proses biometrik.

BACA JUGA: Kenapa Minyak Hitam Tak Boleh Kerap Tukar Jenama & Dicampur? Ini Penjelasan Pakar

Permohonan Syarikat Swasta atau Firma Guaman

  1. Sila gunakan kepala surat syarikat (Letter head) untuk permohonan. Jika melalui peguam, gunakan letter head firma guaman.
  2. Salinan kad pengenalan pengarah syarikat dan akuan sumpahnya (disetemkan) RM10.00
  3. Salinan borang 49, 44 dan 24 serta resolusi syarikat dan M & A  yang disahkan setiausaha syarikat.
  4. Jika melalui peguam, sila kemukakan salinan kad pengenalan peguam dan akuan sumpahnya
  5. Lain-lain seperti permohonan individu.

Permohonan Jabatan Kerajaan atau Badan Berkanun (tidak berobjektifkan keuntungan)

  1. Sila gunakan kepala surat (Letter Head) Jabatan Kerajaan atau Badan Berkanun berkenaan.
  2. Salinan laporan polis yang disahkan oleh balai polis berkenaan.
  3. Salinan kad pengenalan pegawai kerajaan (pengadu) laporan polis.
  4. Surat akuan sumpah pegawai kerajaan (pengadu) laporan polis yang disetemkan RM10.00
  5. Surat akuan sumpah serta salinan kad pengenalan penyerah (Wakil Jabatan atau Badan Berkanun).
  6. Sila bawa kad pengenalan semasa menyerahkan dokumen permohonan dan perserahan melalui sistem biometrik.
  7. Tiada bayaran dikenakan di atas permohonan Jabatan Kerajaan atau Badan Berkanun.

Perlu diingatkan semua surat akuan sumpah mestilah Bahasa Melayu dan disetemkan RM10.00.

Kesemua laporan polis juga mestilah disahkan oleh balai polis berkaitan dan pelan tanah boleh dilampirkan sekali jika ada.

Permohonan hakmilik hancur

Selain itu, hakmilik hancur adalah merupakan hakmilik yang telah hilang di dalam simpanan tuan tanah atau pihak yang berkepentingan dan dalam masa yang sama juga, salinan hakmilik pendua yang disimpan di pejabat tanah telah hilang dan tiada maklumat.

Pemilik yang berhasrat untuk mendapatkan semula hakmilik ini perlu menunggu selama sembilan bulan untuk tempoh proses penggantian.

Dalam prosedur permohonann ini, ia memerlukan warta sebanyak dua dan siasatan dilakukan termasuk melibatkan bantahan (jika ada) terhadap tanah yang dimaksudkan.

Oleh itu, permohonan akan mengambil waktu yang lama.

Sumber: Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Selangor, Pejabat Tanah Negeri Perak

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?