Siakap Keli
indonesia thailand doakan faisal halim

Indonesia, Thailand Doakan Faisal Halim Cepat Sembuh

Indonesia, Thailand Doakan Faisal Halim Cepat Sembuh

Berita pemain sayap lincah Selangor FC, yang menjadi mangsa simbahan asid pada Ahad lepas ternyata mengejutkan banyak pihak.

Apatah lagi, sebelum insiden itu berlaku, kita digemparkan dengan laporan seorang lagi pemain, Akhyar Rashid cedera dipukul individu tidak dikenali dalam satu kejadian dipercayai kejadian samun.

Dua insiden yang berlaku dalam tempoh yang singkat itu menimbulkan pelbagai tanda tanya dalam kalangan komuniti bola sepak, khususnya dalam negara ini.

Lebih-lebih lagi, insiden yang menimpa kedua-dua pemain itu, terutamanya Faisal Halim adalah sangat serius apabila beliau dilaporkan telah mengalami kelecuran tahap empat.

Malah, pemain tersebut juga terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan menjalani beberapa pembedahan di sebuah hospital.

Tersentak dan tersentuh dengan kejadian yang menimpa pemain kebangsaan berkenaan, orang ramai kemudian mula menunjukkan solidariti bersama Faisal, khususnya di media sosial.

Majikan Faisal sendiri juga turut memulakan kempen #StandWithFaisalHalim Stop The Violence! sebagai tanda sokongan kepada pemainnya.

Kempen berkenaan kemudian menjadi tular di media sosial dan turut dipanjangkan oleh individu-individu terkenal lain, termasuk ahli politik dan selebriti tanah air.

Kelab-kelab yang bersaing dalam Liga Malaysia, seperti PDRM FC dan Kedah FA turut menyatakan sokongan masing-masing kepada Faisal Halim.

Indonesia, Thailand doakan Faisal Halim agar cepat sembuh

Bukan itu sahaja, apa yang berlaku turut mendapat perhatian daripada media-media antarabangsa, terutamanya dari negara di rantau Asean ini.

Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dan pasukan kebangsaan Thailand adalah yang terawal menunjukkan sokongan mereka melalui hantaran di platform media sosial rasmi masing-masing.

Malah, peminat-peminat bola sepak tempatan di kedua-dua negara itu turut terkesan dengan insiden yang menimpa Faisal.

Mereka turut tampil menerusi akaun media sosial lain-lain dengan memuat naik hantaran yang disertakan dengan #StandWithFaisalHalim.

Sementara itu, dalam laporan Astro Arena semalam, keadaan Faisal dikatakan semakin stabil. Pemain itu juga sudah mula menjamah makanan dan cuba melakukan latihan ringan.

Semoga Faisal segera diberi kesembuhan dan dapat kembali beraksi di atas padang, berjuang untuk kelab dan negaranya suatu hari nanti.

BACA: 86 Peratus Rakyat Malaysia Pilih Kerja Masuk Pejabat 3 Hari Seminggu

Sumber: PSSI, Changsuek

Athirah

When nothing goes right, go left.