Siakap Keli
penyakit buah pinggang
Gambar: AFP

Pembunuh Senyap, Lebih Lima Juta Rakyat Malaysia Hidap Penyakit Buah Pinggang Kronik Tanpa Sedar

Pembunuh Senyap, Lebih Lima Juta Rakyat Malaysia Hidap Penyakit Buah Pinggang Kronik Tanpa Sedar

Penyakit buah pinggang adalah antara penyakit yang lazim menyerang rakyat Malaysia.

Malangnya, rata-rata daripada kita tidak menyedari bahawa mereka sedang menanggung masalah ini sehinggalah sudah terlambat.

Jika disebut angka atau jumlah penyakit buah pinggang kronik (CKD) yang ada di Malaysia, anda tentu tidak percaya.

Namun hakikatnya, daripada 33.4 juta rakyat Malaysia, lebih daripada 5 juta sebenarnya sedang menghidap CKD dan hanya 5 peratus sahaja yang menyedari mereka sedang berdepan dengan penyakit yang boleh membawa maut tersebut.

Daripada jumlah tersebut pula, lebih 51,000 orang menanggung masalah kegagalan buah pinggang atau turut dikenali sebagai end-stage renal disease (ESRD) dan memerlukan terapi penggantian buah pinggang atau dialisis.

Untuk pengetahuan pembaca, pembelanjaan yang perlu ditanggung untuk merawat ESRD bukannya sedikit.

Misalnya pada 2016, kerajaan membelanjakan hampir RM1.2 bilion untuk tujuan tersebut, iaitu peningkatan sebanyak 94 peratus dalam tempoh tujuh tahun.

Kerjasama memajukan penjagaan CKD melalui penyelesaian digital tercanggih

Bagi menangani dilema yang sedang ditanggung oleh rakyat negara ini, AstraZeneca bersama beberapa pemimpin industri penjagaan kesihatan tempatan bekerjasama memajukan penjagaan CKD melalui penyelesaian digital tercanggih menerusi pelancaran aplikasi MyCKD CPG dan Persamaan Risiko Kegagalan Buah Pinggang Boleh Ubah (KFRE).

Pihak-pihak yang terlibat dalam kerjasama ini adalah Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN), Persatuan Biokimia Klinikal Malaysia (MACB) dan Bab Patologi Kimia & Perubatan Metabolik, Kolej Patologi, Akademi Perubatan Malaysia (CPMM CPath AMM).

Turut terlibat adalah Premier Integrated Labs, Innoquest Pathology, Lablink Medical Laboratory dan Sunway Medical Centre Laboratory.

Komitmen AstraZeneca membantu masyarakat menangani masalah CKD

Di pihak AstraZeneca, mereka sentiasa menekankan kepentingan pencegahan awal untuk penjagaan penyakit CKD.

Presiden AstraZeneca Malaysia, Vinod Narayanan berkata, kerjasama yang terjalin dengan pemain industri penjagaan kesihatan itu mencerminkan komitmen AstraZeneca dalam meningkatkan hasil bagi masyarakat melalui diagnosis awal CKD.

“Dengan memanfaatkan kuasa alat digital seperti aplikasi MyCKD CPG, integrasi KFRE dan bekerjasama dengan rakan kongsi yang lain di seluruh ekosistem kesihatan, kami memajukan penjagaan kesihatan untuk masyarakat dan meningkatkan hasil yang lebih baik untuk pesakit.

“Untuk mencapai matlamat ini, kami menyasarkan untuk menyaring 140 juta individu yang berisiko CKD di seluruh dunia menjelang 2025 dan memperbaiki kesihatan buah pinggang dengan mengurangkan kadar pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang sebanyak 20 peratus,” katanya.

Seperti yang diketahui, antara faktor risiko yang menyumbang kepada masalah CKD adalah berpunca daripada diabetes jenis 2, hipertensi dan beberapa risiko yang lain.

Dalam menangani masalah CKD yang digelar sebagai pembunuh senyap ini, adalah penting untuk risiko-risiko ini dapat dikesan oleh doktor penjagaan primer seawal yang mungkin.

MyCKD CPG, aplikasi bantu doktor penjagaan primer

Justeru, menerusi aplikasi MyCKD CPG, doktor penjagaan primer berupaya mengenal pasti tanda-tanda awal CKD pada seseorang pesakit daripada awal dan mengambil langkah intervensi sewajarnya untuk membantu mereka.

MyCKD CPG bukan hanya semata-mata menyediakan alat untuk memudahkan diagnosis dan intervensi awal, sebaliknya turut memberi akses untuk menilai risiko perkembangan CKD dengan menggunakan KFRE.

Menurut Presiden MSN, Dato’ Dr. Lily Mushahar, perkongsian pintar yang diumumkan itu merupakan satu langkah penting dalam penambahbaikan penjagaan CKD di Malaysia.

“Di Persatuan Nefrologi Malaysia, kami percaya bahawa menyediakan profesional penjagaan kesihatan dengan alat untuk meningkatkan pengurusan CKD serta mengurangkan risiko kegagalan buah pinggang bukan sahaja akan meningkatkan hasil pesakit tetapi juga secara ketara mengurangkan beban CKD pada sistem penjagaan kesihatan kami,” katanya.

Mengukur kebarangkalian kegagalan buah pinggang melalui KFRE

Manakala KFRE pula adalah satu usaha untuk mengintegrasikan persamaan risiko kegagalan buah pinggang boleh diubah ke dalam Sistem Pelaporan Makmal.

Persamaan risiko tersebut menganggarkan kebarangkalian kegagalan buah pinggang dalam tempoh 2 hingga 5 tahun bagi pesakit yang berada dalam peringkat CKD 3 dan 5.

Anggaran yang dibuat pula berdasarkan pembolehubah seperti umur, jantina, nisbah albumin-kreatinin (UACR) dan kadar penapisan glomerular (GFR).

Keputusan kebarangkalian yang diterbitkan adalah dalam bentuk peratus iaitu berdasarkan skala kurang daripada 1 peratus sehingga 99 peratus.

Sebagai contoh, keputusan 1 peratus kebarangkalian untuk berdepan masalah kegagalan buah pinggang dalam tempoh 2 tahun dan 5 peratus dalam tempoh lima tahun akan dianggap sebagai rendah.

Dengan adanya KFRE, pesakit akan mempunyai pengetahuan dan cara untuk meramalkan risiko kegagalan buah pinggang, lalu membuat persedian yang sepatutnya.

Sekiranya kebarangkalian adalah tinggi, mereka boleh mengambil langkah yang sepatutnya dan mempertimbangkan pilihan rawatan dengan lebih baik.

Dalam pada itu, Presiden MACB, Dr Raja Elina Raja Aziddin berkata, dengan mengintergrasikan KFRE ke dalam Sistem Maklumat Makmal (LIS), ia dapat menyumbang kepada peningkatan cara CKD didiagnosis dan dirawat di Malaysia.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami dalam memajukan penjagaan kesihatan melalui inovasi dan ketegasan saintifik, dan kami sangat teruja untuk melihat kesan positif yang akan dirasakan oleh pesakit,” katanya.

Pengintergasian KFRE ke dalam laporan makmal sebagai satu peristiwa penting

Manakala Presiden CPMM Cpath AMM, Profesor Madya Dr. Subashini C. Thambiah menyifatkan pengintergrasian KFRE ke dalam laporan makmal sebagai satu peristiwa penting.

“Kami teruja menjadi salah satu rakan kongsi dalam usaha ini, yang sejajar dengan visi masyarakat untuk memajukan amalan patologi kimia dan perubatan metabolik demi meningkatkan keselamatan pesakit serta hasil klinikal yang lebih baik,” ujar beliau.

Kesimpulannya, rakyat Malaysia tidak lagi perlu risau kegagalan buah pinggang berlaku secara tanpa di duga.

Di pihak Premier Integrated Labs, Innoquest Pathology, Lablink Medical Laboratory, dan Sunway Medical Centre Laboratory, mereka sentiasa komited untuk melaporkan KFRE secara automatik di makmal mereka.

Orang ramai digalakkan untuk berunding dengan doktor mereka untuk mengetahui lebih lanjut tentang KFRE.

Sementara itu, profesional penjagaan kesihatan boleh mendaftar untuk sesi pendidikan perubatan berterusan (CME) di KFRE di sini: https://app.docquity.com/#/webinar/detail/11570.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.