Siakap Keli
penyokong tukar tiket jdt
Gambar: Bernama

Perlawanan Sumbangsih Batal, Penyokong Boleh Pilih Tukar Tiket Atau Bayaran Balik – JDT

Perlawanan Sumbangsih Batal, Penyokong Boleh Pilih Tukar Tiket Atau Bayaran Balik – JDT

Susulan pembatalan perlawanan Piala Sumbangsih pada Jumaat ini, kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) memaklumkan bahawa para penyokongnya yang telah membeli tiket boleh memilih untuk membuat pertukaran atau mendapatkan bayaran balik.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, JDT berkata tiket perlawanan pembukaan boleh digunakan pada perlawanan antara pasukan itu dengan Negeri Sembilan pada 18 Mei atau Pahang pada 22 Jun.

Manakala bagi bayaran balik pula, harga tiket tidak termasuk bayaran pemprosesan atau caj kad.

“Para penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang telah membeli tiket untuk perlawanan pembukaan Liga Super Malaysia dan Piala Sumbangsih yang dibatalkan antara Harimau Selatan dan Selangor FC pada 10 Mei 2024 boleh memilih sama ada mendapatkan pertukaran untuk salah satu daripada dua perlawanan liga di laman sendiri yang seterusnya atau bayaran balik,” katanya.

Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai mekanisme pertukaran tiket atau bayaran balik akan diumumkan kelak.

BACA: Selangor FC Umum Tidak Hadir Ke Perlawanan Piala Sumbangsih

“Mekanisme pertukaran tiket atau bayaran balik akan diumumkan dalam masa terdekat selepas perbincangan dengan Ticket Hotline,” jelas kelab itu.

Terdahulu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah mengumumkan perlawanan Sumbangsih yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat ini dibatalkan.

Keputusan pembatalan tersebut dilakukan selepas Selangor memaklumkan tidak akan hadir ke perlawanan tersebut yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim.

Susulan itu juga, JDT diberikan kemenangan walkover dengan jaringan 3-0 dan mendapat 3 mata bagi perlawanan Liga Super (LS1).

Sumber: JOHOR Southern Tigers

Sofea

There's always another side to every story