PRK: Pang Sock Tao Menang, Kuala Kubu Baharu Kekal Milik PH
Calon Pakatan Harapan, Pang Sock Tao telah memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu dengan 14,000 undian iaitu bersamaan 57.21 peratus.
Keputusan yang diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Yuhanas Auree Kamaruddin itu menyaksikan Pang telah menewaskan calon yang lain dengan majoriti sebanyak 3,869 undi.
Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut mendapat sebanyak 10,131 undi, diikuti calon bebas, Nyau Ke Xin dengan 188 undi dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin dengan 152 undi.
BACA: PRK KKB: 17 Pusat Pengundian Ditutup 6 Petang, Proses Penjumlahan Undi Bermula
Ini menyaksikan Kuala Kubu Baharu kekal ditakluki oleh PH.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu telah diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu akibat kanser.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada PH dan Kerajaan Perpaduan atas kemenangan calon DAP yang berusia 31 tahun itu.
Memetik laporan Bernama, Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan 25 Tahun parti itu di Depot Sentul, Kuala Lumpur malam ini.
Pang yang merupakan bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
Beliau telah diumumkan sebagai calon PH pada 24 April lalu iaitu tiga hari sebelum hari penamaan calon PRK berkenaan.