Dah Dipindahkan Ke Wad Biasa, Faisal Teringin Nasi Kandar
Pemain bola sepak kebangsaan dan Selangor FC, Faisal Halim kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sudah dipindahkan ke wad biasa, lapor Astro Arena.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar dalam satu sidang media sebentar tadi.
Bagaimanapun, katanya pelawat masih tidak dibenarkan lagi buat masa ini.
“Alhamdulillah, hari ini Faisal telah dipindahkan dari ICU ke wad biasa.
“Tetapi masih lagi tidak dibenarkan pelawat kerana keadaan masih agak sensitif tetapi Alhamdulillah Faisal stabil,” katanya.
Menurutnya lagi, Faisal juga ada menyatakan keinginan untuk memakan nasi kandar.
“Saya difahamkan dia sedang soft diet, dia dah boleh juga makan diet biasa, saya dengar pun dah ada teringin nak makan nasi kandar dan sebagainya, Alhamdulillah,” katanya.
Tambahnya lagi, pakar masih memantau keadaan pemain yang berasal dari Pulau Pinang itu dan pembedahan seterusnya akan dilakukan pada minggu depan, sama ada Isnin atau Selasa.
Mengulas mengenai rawatan skin allograft yang dijalankan pada minggu lalu, Shahril berkata tubuh badan Faisal memberikan reaksi yang baik kepada prosedur itu.
“Minggu hadapan baru kita buat pembedahan keempat di mana kulit daripada bahagian yang lain (homograft) akan ditampal di bahagian-bahagian yang cedera,” jelasnya.
Terdahulu, Faisal telah disimbah asid dalam kejadian yang berlaku di sebuah pusat beli-belah di Damansara dua minggu lalu.
TERKINI : Faisal Halim sudah dipindahkan ke wad biasa dan dengar cerita Faisal dah teringin nak makan nasi kandar? Wah! Betul anak mamu tu! 🤣 #SolidaritiFaisalHalim #NadiArena #AstroArena pic.twitter.com/KLbrLHp86l
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) May 14, 2024
Berita lanjut menyusul
Sumber: Astro Arena