Tak Sampai Sejam Buka Akaun IG, Klopp Kumpul Lebih 250,000 Pengikut
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp yang bakal mengendalikan perlawanan terakhir bersama kelab itu pada Ahad dilapor telah membuka akaun Instagram peribadi, hari ini.
Apa yang mengejutkan, tidak sampai sejam akaun tersebut dibuka, jurulatih berasal dari Jerman itu sudah berjaya mengumpul lebih 250,000 orang pengikut.
Setakat ini, bilangan pengikut akaun dengan nama pengguna @kloppo itu semakin menghampiri bilangan 400,000 orang pengikut.
Bersama akaun berkenaan, Klopp turut memuat naik hantaran pertama dalam format video.
Jurgen Klopp buka IG, tak sampai sejam sudah ada lebih 250,000 pengikut
“Meninggalkan tempat yang hebat ini tersangatlah sukar. Namun, saya ingin terus kekal berhubung dengan anda semua.
“Walaupun saya ini bukanlah seorang yang gemar dengan media sosial, namun mereka memberitahu ia dapat membantu untuk terus berhubung. Jadi, inilah akaun IG saya,” katanya.
Hantaran video berkenaan turut mendapat reaksi mendadak daripada warga maya apabila berjaya mengumpul lebih 519,000 tanda suka setakat ini.
Dengan adanya akaun IG tersebut, sekurang-kurangnya para peminat Liverpool dapat terus berhubung dan mengikuti perkembangan terkini pengurus legenda mereka itu selepas ini.
Seperti yang semua peminat bola sepak sedia maklum, Klopp akan meninggalkan Liverpool selepas tamat musim ini dan perlawanan menentang Wolves malam esok menjadi perlawanan terakhirnya bersama kelab itu.
Sempat utus surat buat peminat di bandar Liverpool
Sebelum meninggalkan kelab tersebut, Klopp sempat menulis satu surat kepada Liverpool Echo yang ditujukan kepada para peminat The Reds yang tinggal di bandar Liverpool.
Antara intipati surat tersebut menyentuh tentang pengalamannya ketika pertama kali menjejakan kaki di bandar Liverpool.
“Pada saya, Liverpool adalah bandar dengan ‘tangan’ yang terbuka menerima sesiapa sahaja. Sebuah tempat yang menyambut kamu seperti anak kecil dan tidak kisah asal usul kamu.
“Ada banyak perkara yang boleh saya katakan dan banyak memori indah yang saya boleh sebutkan ketika ini. Sama ada di dalam atau di luar padang, kita mencipta banyak kenangan yang akan kekal bersama saya selamanya.
“Namun, apabila saya memikirkan tentang bandar ini dan penduduknya yang hebat, pengajaran terbesar yang akan saya bawa bersama adalah ‘Scouser tak kenal putus asa’,” katanya.
Klopp menghabiskan sembilan tahun bersama kelab itu dan berjaya memenangi semua piala tertinggi yang boleh dimenangi oleh sesebuah kelab di Eropah.
BACA: Polis Tahan Lelaki Disyaki Muat Naik Ugutan Bunuh Ibu Bapa Selebriti
Sumber: Jurgen Klopp, Liverpool Echo