Siakap Keli
Sumber : BERNAMA

Tindakan Tegas MOTAC Terhadap Agensi Pelancongan Jika Didapati Tidak Bertanggungjawab

Tindakan Tegas MOTAC Terhadap Agensi Pelancongan Jika Didapati Tidak Bertanggungjawab

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengambil maklum mengenai kira-kira 300 jemaah haji yang terkandas di  Makkah akibat terpedaya dengan pakej haji murah oleh agensi pelancongan yang tidak bertanggungjawab. Saya sedang meneliti  insiden ini dan berdasarkan maklumat yang saya terima, 300 jemaah  haji yang pergi ke Makkah ini telah dimaklumkan bahawa pas pelancong yang mereka gunakan boleh ditukarkan kepada umrah atau haji.  

Perkara ini adalah tindakan tidak bertanggungjawab sama sekali!  Sesetengah agensi pelancongan atau individu tertentu telah  menyalahgunakan kepercayaan jemaah dengan memberikan  maklumat yang tidak tepat. Tindakan seperti ini bukan sahaja  melanggar peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, tetapi  juga meletakkan keselamatan dan kepentingan jemaah dalam risiko  di Arab Saudi.

Oleh itu, amat penting untuk semua pihak sentiasa  berwaspada dan memastikan bahawa mereka hanya berurusan  dengan pihak-pihak yang sah dan diiktiraf. Insiden ini amatlah dikesali kerana pada tahun 2023, MOTAC telah  mengeluarkan kenyataan berhubung larangan penggunaan visa  pelancong dan umrah bagi tujuan menunaikan ibadah haji.  

Peringatan ini diuar-uarkan bagi memastikan tiada jemaah umrah  yang mengambil kesempatan untuk tinggal lebih masa (overstay) sehingga masuk ke musim haji. Tindakan ini merupakan satu  kesalahan di bawah peraturan Kerajaan Arab Saudi iaitu  menunaikan ibadah haji tanpa mempunyai permit yang sah.  Kerajaan Arab Saudi HANYA mengiktiraf permit haji yang dikeluarkan  oleh institusi bertauliah bagi setiap negara seperti Lembaga Tabung  Haji (TH). 

Oleh itu, saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha MOTAC untuk  menjalankan siasatan dengan teliti dan memahami insiden ini, tidak  kira ianya berita palsu atau berita sahih. Sekiranya terdapat mana mana pihak yang didapati melakukan kesalahan ini, lesen  pelancongan mereka akan dibatalkan serta-merta.

agensi pelancongan tidak bertanggungjawab
Sumber : BERNAMA

Beliau telah  mengamanahkan pihak Tourism Malaysia yang berdekatan untuk  menyiasat insiden ini. MOTAC sedang menunggu laporan penuh  daripada mereka dan sekiranya diperlukan, pihak Kementerian akan menghantar pegawai dari ibu pejabat untuk turun padang. 

MOTAC akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap agensi  pelancongan yang dilesenkan oleh Kementerian ini jika terbukti  terlibat dalam penyalahgunaan visa pelancong dan visa umrah  untuk tujuan ibadah haji. Kementerian memandang serius perkara ini kerana melibatkan kepentingan dan keselamatan jemaah, selain menghalang berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini dan  secara tidak langsung, menjaga hubungan baik yang telah terjalin  antara Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi. 

Insiden ini telah berulang kali terjadi dan rakyat kita yang sering menjadi mangsa. Saya telah menegaskan perkara ini beberapa kali  sebelum ini. Tetapi, mungkin ada sesetengah pihak yang  memandang remeh perkara ini dan tidak percaya Kementerian  akan mengambil tindakan tegas atas kesalahan yang dilakukan. 

Saya juga ingin tegaskan, perkara ini tidak melibatkan sebarang sentimen pilih kasih atau diskriminasi pada mana-mana kaum. Saya  amat menghormati semua kaum dengan sama rata dan adil serta tidak wujud sebarang unsur prejudis daripada mana-mana  pihak.

Sebagai Menteri yang bertanggungjawab, saya amat  menghormati semua individu atau mana-mana pihak tanpa  mengira kaum atau latar belakang yang berbeza. Namun, mana mana individu yang didapati melanggar undang-undang dan  peraturan yang ditetapkan, tindakan tegas akan diambil secara  adil. 

Buat masa ini, para jemaah yang terkandas disarankan untuk  membuat laporan kepada TH dan pihak kedutaan Malaysia di  Jeddah, Arab Saudi bagi mendapatkan khidmat bantuan dan  nasihat seperti yang telah dinyatakan oleh pihak TH.

Saya berharap kita dapat saling memahami dalam perihal umrah  dan haji ini, ianya peluang untuk beribadat yang amat berharga  bagi umat Islam, mungkin peluang yang hanya datang sekali sahaja  dalam seumur hidup mereka bagi keluarga sederhana.

Saya berharap mana-mana syarikat agensi pengurusan umrah dan haji,  dapat memegang tanggungjawab dan menjalankan perniagaan  dengan memberi tawaran perkhidmatan yang baik kepada rakyat. Peringatan tegas bagi semua, janganlah menyalahgunakan kuasa  untuk menganiaya rakyat jelata.  

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.