Harga Emas Cecah Rekod Tertinggi Dalam Sejarah
LONDON — Harga emas mencecah paras tertinggi sepanjang masa susulan trend inflasi Amerika Syarikat (AS) yang perlahan, lapor AFP hari ini.
Difahamkan, Rizab Persekutuan (Fed) dijangka akan mengurangkan pemotongan kadar faedah tidak lama lagi apabila inflasi menjadi reda.
Bukan itu sahaja harga tembaga juga dilaporkan mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih 11 tahun dengan pasaran secara amnya mendapat keuntungan daripada prospek ekonomi yang lebih cerah.
Setakat hari ini, emas mencecah rekod AS$2,450.07 (RM 11,479.40) seauns, manakala harga tembaga pula berada pada paras AS$11,104 (RM 52,025.30) per tan.
“Emas dan tembaga telah mencapai paras tertinggi, (dan) perak melonjak ke paras tertinggi 11 tahun,” kata Neil Wilson, ketua penganalisis pasaran di kumpulan perdagangan Finalto.
Beliau turut menjangkakan pengurangan kadar yang akan dilakukan Fed secara tidak langsung membantu kenaikan harga itu.
Selain itu, sentimen pasaran turut dirangsang oleh rancangan China untuk menyokong sektor hartanahnya yang sedang dilanda krisis.
“Oleh itu, kenaikan baru-baru ini dalam logam sebahagiannya disebabkan oleh dolar yang lebih lemah dan peningkatan peluang penurunan kadar Fed.
“Bagaimanapun, majoriti keuntungan telah didorong oleh permintaan lindung nilai inflasi dan pembelian bank pusat,” kata penganalisis pasaran, Fawad Razaqzada di City Index dan FOREX.com.
BACA: Video Papar Keadaan Dalam Helikopter Bawa Presiden Iran Sebelum Terhempas Tular
Dalam masa yang sama, analisis data yang dibuat selepas minggu lalu menunjukkan inflasi Amerika Syarikat berkurangan pada April, menghidupkan semula harapan bank pusat mengurangkan kadar faedah dua kali tahun ini.
Untuk makluman, harga emas pada tahun ini mencatatkan beberapa siri rekod tertinggi.
Sumber: AFP via France24