Siakap Keli
kereta terkena tayar lori lelaki cedera parah
Gambar: Tangkap Layar Video Di TikTok

Kereta Dipandu Terkena Tayar Lori Tercabut, Lelaki Cedera Parah

Kereta Dipandu Terkena Tayar Lori Tercabut, Lelaki Cedera Parah

Kuala Lumpur — Kereta terkena tayar lori yang tercabut, seorang lelaki dilaporkan cedera parah dalam kejadian yang berlaku di Jalan Tuanku Abdul Halim pada Isnin, lapor Sinar Harian.

Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Superintenden Suffian Abdullah, mangsa yang juga seorang pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), 31, kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Kuala Lumpur.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada jam 6.40 pagi, sebuah lori yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 50 tahun dari arah Rawang menghala ke Sungai Besi.

“Dua tayar lori itu kemudian telah tercabut dan masuk ke laluan bertentangan lalu terkena dua kereta jenis Proton Saga dan Proton Iriz,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

BACA JUGA: Ahli Kumpulan Rabbani, Nazrul Azhar Meninggal Dunia

Tambahnya, kereta Proton Iriz yang dipandu dari arah Jalan Mahameru menghala ke Jalan Duta itu tidak sempat mengelak dan telah terlanggar tayar tersebut. Ia menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan dan seterusnya terbabas di kiri jalan.

“Pemandunya mengalami kecederaan parah di kepala telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

“Manakala, pemandu kereta Proton Saga berusia 33 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam pada itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Izan Ismail berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.06 pagi.

Susulan itu, lapan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pasukan bomba mendapati tayar sebuah lori tercabut lalu terkena dua buah kereta iaitu jenis Proton Iriz dan Proton Saga.

“Pemandu kereta Proton Iriz tersepit dan mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 7.41 pagi oleh pasukan bomba dengan menggunakan peralatan pemotong hidraulik.

“Mangsa dalam keadaan sedar itu diserahkan pada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Sofea

There's always another side to every story