Siakap Keli
piala dunia sepak takraw
Kredit Gambar: Bernama

Malaysia Juara Berganda Piala Dunia Sepak Takraw 2024, Berjaya ‘Libas’ Thailand

Malaysia Juara Berganda Piala Dunia Sepak Takraw 2024, Berjaya ‘Libas’ Thailand

Hari yang indah untuk sukan Malaysia apabila pasukan sepak takraw negara telah mencipta sejarah menewaskan musuh tradisi, Thailand 2-0 menerusi dua acara dalam perlawanan final kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa malam ini.

Kita mendapat kemenangan yang pertama daripada skuad acara Doubles yang disertai oleh Aidil Aiman Azwawi dan Noraizat Nordin, sekaligus menamatkan kemarau takhta acara itu selama bertahun lamanya.

Mereka menewaskan Thailand menerusi dua set yang cukup sengit. Namun, kedua-dua pemain itu menunjukkan semangat juang yang tinggi sambil disaksikan ribuan penyokong di stadium tersebut dan berjaya memperoleh kemenangan dengan mata 17-16, 15-13.

Di set yang pertama, Aidil dan Noraizat mendahului dengan 10-3 tetapi pasangan Thailand Seksan Tubtong dan Kittiphum Sareebut bangkit mengikat kedudukan 14-14 sebelum Malaysia meraih kemenangan set pertama 17-16.

Apabila di set kedua, mereka diberikan tentangan yang sengit namun berjaya ‘melibas’ Thailand dan menjulang kejuaraan dengan keputusan 15-13.

Kegembiraan ini lebih manis apabila pasukan acara regu turut mengekalkan rentak kemenangan dengan menewaskan Thailand 15-8, 15-12, menjadikan Malaysia juara dunia berganda.

BACA: Ahli Kumpulan Rabbani, Nazrul Azhar Meninggal Dunia

Mungkin turut mendapat semangat dari lebih 1000 penonton yang hadir di stadium, trio yang dibarisi Farhan Adam (apit kiri), Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) dan Mohamad Azlan Alias (apit kanan) menunjukkan permainan yang luar biasa dan tampil garang dengan mengasak pasukan lawan.

Mereka konsisten meraih mata demi mata dan menang mudah set pertama, sekaligus membuka peluang untuk menewaskan pasukan Thailand yang terdiri dari Poramet Siriswat, Sittipong Khamchan dan Varayut Jantarasena.

Konsistensi itu diteruskan lagi di set kedua walaupun Thailand beberapa kali menukar tekong. Permainan dirancakkan lagi apabila Muhammad Haziq Hairul Nizam dimasukkan untuk menggantikan Syahir pada pertengahan set kedua.

Selepas berhempas pulas, mereka berjaya menafikan Thailand pada kejohanan kali ini dan menjadi juara dunia.

Tahniah diucapkan buat pasukan sepak takraw Malaysia, semoga terus bersinar!

Sumber: Persatuan Sepaktakraw Malaysia – PSM, Bernama

Sofea

There's always another side to every story