Siakap Keli
penjelasan hasil
Sumber : BERNAMA

Penjelasan HASiL Mengenai Kenyataan Yang Dikeluarkan Oleh YB Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, Presiden MCA

Penjelasan HASiL Mengenai Kenyataan Yang Dikeluarkan Oleh YB Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, Presiden MCA

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin memberikan penjelasan mengenai satu kenyataan yang dikeluarkan oleh YB Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, Presiden MCA yang tular di media sosial seperti berikut:

1.Sama ada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) perlu mengeluarkan e-Invois kepada syarikat yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM 100 juta mulai 1 Ogos 2024.

Sepertimana yang telah diumumkan menerusi Belanjawan 2024 yang lalu, pihak HASiL ingin menjelaskan bahawa pelaksanaan e-Invois bagi PMKS adalah mulai 1 Julai 2025 dan bukan pada 1 Ogos 2024.

Pelaksanaan fasa pertama e-Invois pada 1 Ogos 2024 hanya terpakai kepada syarikat yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM 100 juta dan tiada keperluan pada masa ini untuk syarikat dalam fasa pertama mendapatkan e-Invois daripada PMKS bagi tujuan tuntutan perbelanjaan. Sehubungan dengan itu, PMKS boleh meneruskan perniagaan seperti amalan biasa dan tidak perlu mengeluarkan eInvois mulai 1 Ogos 2024 ini.

Secara amnya, pada peringkat awal pelaksanaan e-invois, tiada keperluan untuk mana-mana pembayar cukai mendapatkan e-Invois sebagai bukti bagi tujuan tuntutan perbelanjaan.

2.Kaedah pelaksanaan e-Invois ke atas PMKS
Bagi membantu dan memudahkan pengemukaan e-Invois ini, HASiL menyediakan Portal MyInvois serta Sistem Point of Sales (POS) yang boleh digunakan secara percuma oleh PMKS untuk semua transaksi termasuk sebarang pindaan.

Pada peringkat awal pelaksanaan e-Invois kepada PMKS, PMKS tidak perlu mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi jualan tetapi dibenarkan untuk mengeluarkan e-Invois yang disatukan, iaitu e-Invois yang menggabungkan semua transaksi jualan PMKS setiap bulan dan hanya perlu dikemukakan kepada pihak HASiL dalam tempoh tujuh (7) hari pertama bulan berikutnya. PMKS juga hanya perlu mengisi enam (6) daripada 55 medan data bagi melengkapkan e-Invois dan maklumat lain akan dipraisi secara automatik.

Dalam tempoh satu tahun sebelum pelaksanaan penuh e-Invois pada 1 Julai 2025, pihak HASiL akan mengambil pendekatan secara aktif dalam menjalankan program dan sesi libat urus bagi tujuan kesedaran dan pendidikan di seluruh negara. HASiL akan turut menyediakan platform, tutorial bimbingan dan panduan pengguna bagi membantu PMKS menggunakan Portal MyInvois.

Pegawai HASiL di peringkat negeri juga akan turun padang dan mengadakan bengkel dan taklimat di seluruh negara bagi memberi bimbingan dan penjelasan berhubung pelaksanaan e-Invois kepada PMKS.

3.Panduan pelaksanaan e-Invois yang tersedia
HASiL telah mengeluarkan Garis Panduan Umum pada 21 Julai 2023 dan Garis Panduan Spesifik pada 29 September 2023. Seterusnya, HASiL telah mengemas kini kedua-dua Garis Panduan tersebut bagi tujuan menambah baik serta memberikan penjelasan berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pihak umum. Oleh itu, pindaan yang dibuat tidak mengubah konsep asas pelaksanaan e-Invois yang telah ditetapkan.

4. Penjelasan mengenai penalti sehingga RM20,000 bagi ketidakpatuhan pelaksanaan e-Invois
Bagi memastikan e-Invois dapat dilaksanakan secara berkesan, kegagalan mengeluarkan e-Invois merupakan satu kesalahan di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967. Kadar penalti minimum yang boleh dikenakan adalah RM200 sehingga kadar maksimum RM20,000 dan pengenaan penalti adalah bergantung kepada setiap fakta kes.
Walau bagaimanapun, HASiL akan memberikan pertimbangan sewajarnya kepada PMKS apabila bermulanya pelaksanaan penuh e-Invois nanti.

5.Pemantauan keselamatan dan privasi data oleh HASiL
HASiL ingin menegaskan bahawa kerahsiaan, privasi dan perlindungan data pembayar cukai adalah menjadi keutamaan kepada HASiL dalam semua urusan percukaian mahupun e-Invois. HASiL mematuhi piawaian antarabangsa melalui pensijilan ISO/IEC 27001; Information Security Management System (ISMS), ISO 223001; Business Continuity Management System (BCMS) dan lain-lain piawaian berkaitan.

HASiL menjalankan Security Posture Assessment (SPA) secara berkala dengan pihak ketiga yang dilantik termasuklah sentiasa bekerjasama dengan pihak Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan keselamatan sistem MyInvois berada pada tahap optimum serta mengatasi risiko ancaman penggodam.

6.Penjelasan mengenai e-Invois dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST)
Pelaksanaan e-Invois telah mengambil kira keperluan SST. Oleh itu, semua maklumat berkaitan SST telah dimasukkan sebagai medan data e-Invois.

Berdasarkan penjelasan ini, pelaksanaan e-Invois sepatutnya tidak menyebabkan kenaikan harga barang dan peningkatan kos perniagaan PMKS.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut berhubung pelaksanaan e-Invois boleh disalurkan seperti berikut:

Menerusi e-mel [email protected] atau;

Pertanyaan berhubung Sandbox Sistem MyInvois dan Software Development Kit (SDK), pembayar cukai boleh menghubungi talian 03-8682 8000 atau e-mel [email protected].

Nurul Naqiyah