Siakap Keli
kenali fenomena tiang cahaya tiang cahaya jepun
Gambar: @maashii_taiyo/X

Tular Hiasi Langit Jepun, Kenali Fenomena Tiang Cahaya

Tular Hiasi Langit Jepun, Kenali Fenomena Tiang Cahaya

Pada minggu lalu, tular di media sosial satu gambar yang memaparkan cahaya aneh berbentuk seperti tiang, muncul di langit pada waktu malam dan kejadian itu dipercayai berlaku di Pelabuhan Mikuriya di Bandar Daisen, Tottori di Jepun.

Para penduduk di kawasan itu ‘dihidangkan’ dengan paparan cahaya yang memukau, di mana tiang-tiang bercahaya terbentang pada langit malam.

Gambar: @maashii_taiyo/X

Walaupun hanya sekeping gambar yang dikongsi namun ia cukup untuk membuatkan orang ramai tertanya-tanya tentang kewujudan cahaya tersebut sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi yang mengaitkan tentang alam.

Dalam gambar tersebut, terdapat sembilan tiang cahaya aneh berada berdekatan antara satu sama lain. Cahaya itu amat berbeza dengan cahaya matahari yang selalu memancarkan cahaya dari pelbagai arah.

Jadi, apakah yang dimaksudkan dengan cahaya aneh tersebut? Adakah ia satu fenomena yang jarang berlaku?

Kenali fenomena tiang cahaya

Pada tahun 2021, kejadian tersebut juga pernah berlaku di Bintulu Sarawak dan menurut penerangan dari Malaysian Space Agency (MYSA) fenomena tersebut dinamakan ‘light pillars’ (tiang cahaya).

Difahamkan, tiang cahaya itu berlaku apabila di permukaan Bumi terdapat cahaya terang dan dikelilingi oleh air, suhu atmosfera menjadi sejuk hingga terbentuk ais (berbentuk kepingan) yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Dalam masa yang sama, suhu di permukaan Bumi pula sangat panas dan pertembungan kedua-dua keadaan ini menyebabkan cahaya tersebut terpantul ke atmosfera.

Kejadian itu membuatkan ia kelihatan seolah-olah tiang cahaya yang tergantung di langit.

Untuk pengetahuan, fenomena ini selalu terjadi di kawasan kutub atau polar dan ia juga boleh terjadi apabila cahaya dipantulkan daripada bot nelayan.

Isaribi Kochu, tarik tangkapan lebih besar

Seperti yang berlaku di Jepun, ia bukanlah cahaya aneh yang muncul daripada langit tetapi ia adalah cahaya ‘buatan’ yang dipancarkan oleh para nelayan.

Gambar: Japan Today

Fenomena tersebut juga dikenali sebagai ‘Isaribi Kochu’ di Jepun, yang bermaksud tiang cahaya yang menarik ikan, di mana para nelayan akan menggunakan lampu daripada bot mereka untuk pancarkan di langit pada waktu malam, memetik Japan Today.

Lampu yang diletakkan pada bot nelayan itu adalah untuk menarik tangkapan yang lebih besar dan boleh dikatakan ia satu amalan biasa yang sering dilakukan oleh para nelayan di Jepun.

Apabila keadaan menjadi sejajar, cahaya dari bot nelayan memantulkan kepingan ais dan menghasilkan tiang cahaya menegak, di mana ia bersinar cukup terang untuk dilihat dari pantai.

Oleh itu, fenomena Isaribi Kochu itu secara harfiahnya dipanggil ‘tiang cahaya yang menarik ikan’ dan keadaan yang jarang berlaku itu semestinya membuatkan ramai kagum sekiranya mereka pertama kali melihatnya.

Gabungan buatan manusia dan semula jadi

Tidak dinafikan, fenomena tersebut menyerlahkan gabungan menarik antara kepintaran manusia dan keajaiban semula jadi.

Tidak hanya itu, ia juga menunjukkan keindahan kaedah memancing secara tradisional dengan keadaan atmosfera, di mana ia digabungkan membentuk satu fenomena yang menakjubkan.

Menarik, bukan? Semoga bermanfaat.

BACA JUGA: “Berbeza…” Lelaki Warga Indonesia Puji Tandas Di R&R Malaysia Bersih

Sumber: Japan Today, Economic Times, MYSA

Nurhanis

noktah