Siakap Keli
suami isteri dilanggar pemandu mabuk
Sumber: Sinar Harian

Suami Isteri Cedera, Motosikal Dilanggar Pemandu Mabuk

Suami Isteri Cedera, Motosikal Dilanggar Pemandu Mabuk

Sepasang suami isteri mengalami kecederaan apabila motosikal dinaiki mereka dilanggar oleh seorang pemandu mabuk dalam satu insiden yang berlaku di lampu isyarat Jalan Raja Ashman Shah pada Ahad.

Kejadian tersebut berlaku sekitar jam 1.15 pagi apabila seorang lelaki yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Elgrand turut melanggar sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad menjelaskan bahawa suspek berusia 44 tahun itu sedang memandu MPV dari Jalan Ashman Shah menuju ke Jalan Raja Musa Aziz.

“Sampai di tempat kejadian, dia terlanggar sebuah motosikal menyebabkan penunggang dan pembonceng berusia 27 dan 32 tahun mengalami cedera ringan.

“Suspek bertindak mengundur kenderaan lalu terlanggar sebuah kereta sebelum membuat pusingan U dan masuk ke Jalan Kamaruddin Isa.

“Pemandu MPV tersebut kemudian telah hilang kawalan selepas melanggar penghadang batu di Jalan Sybil Kathigasu,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, suspek telah ditahan dan ujian pernafasan mendapati kadar alkohol dalam badannya melebihi had yang ditetapkan.

“Semakan mendapati suspek mempunyai 20 rekod saman trafik termasuk empat kesalahan kemalangan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan,” katanya.

Dalam pada itu, saksi kejadian diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Edwin Tang Chiew Song di talian 016-5506863 atau hadir ke balai polis terdekat untuk membantu siasatan.

BACA: Tujuh Bayi Baru Lahir Maut Dalam Kebakaran Di Delhi

Sumber: Sinar Harian

Sharifah Hannah Adibah