KPM Optimis Keputusan SPM 2023, Tangani Segera Isu Calon Keciciran Atau Tidak Hadir Peperiksaan
Tahniah diucapkan kepada semua calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, guru-guru dan seluruh warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang telah gigih memastikan peningkatan prestasi secara keseluruhan.
Gred Purata Nasional (GPN) SPM 2023 ialah 4.60 dengan 93.5% calon layak menerima sijil. Seramai 11,713 calon berjaya memperoleh gred semua A dan ini merupakan keputusan yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
Dari segi kehadiran calon untuk menduduki peperiksaan, seramai 373,525 orang (97.4%) telah hadir untuk menduduki peperiksaan SPM 2023. Jumlah calon yang tidak hadir menduduki peperiksaan telah berjaya dikurangkan sebanyak 1.2% berbanding tahun sebelumnya.
Pencapaian ini adalah hasil daripada intervensi yang dilaksanakan di setiap peringkat, melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), dan pihak sekolah.
Namun demikian, KPM tetap memberi perhatian terhadap calon yang tercicir atau tidak hadir peperiksaan SPM 2023. Antara langkah segera yang akan diambil oleh KPM adalah mengesan calon yang tercicir dan memberikan peluang kepada mereka untuk mendaftar bagi menduduki peperiksaan ulangan.
Intervensi ini telah dilaksanakan pada tahun lalu dan menghasilkan keputusan yang positif.
KPM optimis keputusan membanggakan SPM 2023 adalah pemangkin dalam usaha berterusan mereformasikan pendidikan negara.