Semua Model Perodua & Toyota Di Malaysia Patuhi Piawaian Keselamatan – Anthony Loke
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengesahkan bahawa semua model kenderaan Perodua dan Toyota di Malaysia mematuhi sepenuhnya piawaian keselamatan peraturan United Nations (UN) seperti mana yang ditetapkan di bawah prosedur Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) semasa.
Dalam satu sidang media yang diadakan pada Selasa, beliau berkata sesi pengujian semula model kenderaan bagi kedua jenama itu telah dilaksanakan sepenuhnya pada bulan Mac lalu mengikut enam peraturan yang ditetapkan UN.
“Selepas insiden ketidakaturan prosedur pengujian keselamatan kenderaan oleh pihak Daihatsu Motor Corporation (DMC) Japan, Kementerian Pengangkutan telah mengarahkan pengujian semula dilaksanakan pada Perodua dan Toyota yang berkaitan dengan DMC Japan yang membabitkan enam pematuhan peraturan United Nations (UN),” katanya.
“Dianggarkan sejumlah 1.7 juta unit kenderaan bagi kedua-dua pembuat kenderaan terlibat dengan isu tersebut di dalam pasaran Malaysia.
“Susulan itu, sesi pengujian semula kenderaan terbabit telah dilaksanakan sepenuhnya dalam bulan Mac yang lalu oleh pihak Technical Services yang kompeten dan diiktiraf oleh World Forum Harmonisation of Vehicle Regulations (WP 29) menerusi rangka kerja United Nations of Type Approval,” katanya.
BACA: VEP Di Sempadan Malaysia-Singapura Dikuat Kuasa Sepenuhnya 1 OKT – Loke
Menurutnya, skop peraturan UN yang terlibat bagi tujuan pengujian semula tersebut adalah door latches, door retention component, pedestrian protection, seats anchorage, seat-head restraints, brake system, frontal impact dan side impact.
Bagi Perodua, terdapat enam model kenderaan yang terlibat dalam pengujian tersebut iaitu Axia generasi pertama, Axia generasi kedua, Alza generasi kedua, Aruz, Ativa, Bezza dan Myvi.
Manakala, Toyota pula melibatkan model Rush, Vios dan Veloz.
Tambahnya lagi, pihak JPJ akan meneruskan pemantauan secara tegas terhadap kedua-dua pengeluar kenderaan tersebut dan pihak DMC bagi memastikan mereka telah melaksanakan tindakan penambahbaikan yang telah ditetapkan.
“Antara penambahbaikan terlibat adalah pengemaskinian tatacara peraturan pengujian dalaman dan pelaksanaan aktiviti pematuhan pembuatan secara berkala melibatkan pihak berkuasa iaitu JPJ secara berkala,” katanya.
Dalam sidang media itu juga, beliau turut mengumumkan mengenai pelaksanaan Peraturan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) asing di sempadan darat Malaysia-Singapura yang dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 Oktober depan.
Ia dilaksanakan bagi memastikan pemilik kenderaan asing mematuhi peraturan jalan raya
Sumber: Live Astro Awani