SPM 2023: Peningkatan Prestasi Semua Mata Pelajaran Elektif STEM (Sains Tulen Dan Matematik Tambahan)
PUTRAJAYA, 28 Mei 2024 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua murid yang telah menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2023 di atas kejayaan dan pencapaian mereka. Usaha, kegigihan dan dedikasi yang ditunjukkan telah memberi inspirasi yang membanggakan kepada ramai pihak.
Pencapaian dalam subjek STEM di peringkat SPM adalah langkah bermakna ke arah membina rakyat Malaysia yang bersedia menghadapi cabaran masa hadapan berpacukan inovasi.
Keempat-empat mata pelajaran elektif STEM, yang terdiri daripada Sains Tulen (Fizik, Kimia, dan Biologi) serta Matematik Tambahan, telah menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.
Mata pelajaran Fizik mencatatkan peningkatan prestasi tertinggi sebanyak 0.22 mata, menjadikannya mata pelajaran berprestasi terbaik dalam kumpulan ini dengan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) sebanyak 4.15 mata.
Pembelajaran fizik adalah amat penting dalam pelbagai bidang sains, justeru murid yang menguasai bidang ini berpotensi menjadi bakat dalam bidang kejuruteraan, sains perubatan dan pelbagai bidang teknologi. Ujian Amali Sains (UAS) sebagai satu daripada kertas peperiksaan Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Tambahan pula, adalah selari dengan strategi memartabatkan pendidikan STEM di bawah Teras 4 Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030; untuk membina Bakat STI yang Adaptif.
Di samping itu, seramai 11,713 calon SPM tahun 2023 atau mewakili sebanyak 3.1% memperoleh keputusan cemerlang dengan gred A+, A dan A- dalam semua pelajaran. Pencapaian ini menunjukkan peningkatan lebih baik berbanding tahun sebelumnya iaitu 10,109 atau 2.7% calon mendapat keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran.
Kedua-dua peningkatan pencapaian, iaitu bagi semua mata pelajaran elektif STEM dan keseluruhan keputusan SPM adalah satu indikator penting untuk menyokong pelbagai inisiatif bagi meningkatkan minat murid terhadap STEM melalui kerjasama secara Whole-of-Government dan Whole- of-Nation.
MOSTI melalui Jawatankuasa Pemandu Bakat STI amat teruja dengan peningkatan pencapaian bagi semua mata pelajaran STEM di peringkat SPM yang menjadi langkah yang sangat bermakna dalam mencorakkan pola pendidikan pada peringkat yang lebih tinggi.
MOSTI optimis melalui pemerkasaan pendidikan STEM yang dinamik akan merealisasikan impian menjadikan masyarakat Malaysia berpengetahuan tinggi dan berfikiran kritikal bagi mendepani era ekonomi digital dan teknologi disruptive berpacukan teknologi dan inovasi tinggi.
Walau bagaimanapun, MOSTI melihat trend pelajar yang mengambil mata pelajaran penting seperti Matematik Tambahan dan tiga subjek sains tulen yang menjadi prasyarat untuk membolehkan mereka ke peringkat pengajian tinggi dalam aliran teknologi tinggi seperti bidang perubatan, kejuruteraan, farmasi, bioteknologi dan cabang jurusan berkaitan didapati menurun.
Untuk rekod, subjek Matematik Tambahan menunjukkan penurunan sebanyak 3.33%, Biologi pada kadar (-2.2%), Fizik (-1.42%), dan Kimia (-1.42%) pada tahun 2023 berbanding tahun 2022. Rujuk Rajah seperti Lampiran 1.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Chang Lih Kang menekankan bahawa berdasarkan kepada trend penurunan pelajar yang mengambil subjek sains tulen ini, MOSTI memerlukan strategi dan sinergi bersepadu dari semua pihak berkepentingan melalui pendekatan quadraple helix agar bakat dalam bidang STI dapat dibangunkan untuk mencapai misi dan aspirasi negara maju berteknologi tinggi menjelang tahun 2030 kelak.