Pesawah Didakwa Berdepan 10 Pertuduhan Rogol, Liwat Remaja
Seorang pesawah berusia 28 tahun telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas sepuluh pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dan merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, yang juga anak jirannya, bulan ini.
Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah setelah semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut tanpa kerelaan mangsa antara 3 Mei hingga 12 Mei yang lalu.
Insiden-insiden ini didakwa berlaku di dalam sebuah bilik di rumah yang terletak di Lahar Tiang, Kepala Batas, Pulau Pinang, antara jam 1 pagi hingga 1.30 pagi.
Bagi pertuduhan merogol, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.
Manakala, bagi pertuduhan persetubuhan luar tabii, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 377(C) Kanun Keseksaan, yang juga membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika didapati bersalah.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak sementara tertuduh tidak diwakili oleh peguam, lapor Astro Awani.
Dalam pada itu, mahkamah telah memutuskan untuk tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 26 Jun depan bagi penyerahan dokumen dan laporan perubatan.
BACA: Empat Lelaki Ditahan Ceroboh Pusat Hidrografi Nasional
Sumber: Astro Awani