Peluncuran Kitab Fiqh Zakat Terjemahan Bahasa Melayu Pertama Oleh PPZ-MAIWP
29 MEI 2024, PUTRAJAYA: Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini melancarkan Kitab Fiqh Zakat hasil karya Almarhum Dr. Syeikh Yusuf Al-Qaradawi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
Acara bersejarah ini disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, dengan kehadiran Sahibus Samahah Syeikh Dr. Ali Muhyiddin Ali Al-Qaradaghi, Pengerusi Persatuan Ulamak Sedunia.
Turut hadir, YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YBrs. Tuan Haji Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP, dan YBhg. Dato’ Seri Amrin Awaluddin, Pengerusi PPZ-MAIWP.
Pertemuan antara PPZ-MAIWP dan Almarhum Dr. Syeikh Yusuf Al-Qaradawi di Qatar pada tahun 2019 bertujuan untuk memperoleh persetujuan rasmi dari Maktab Al-Qaradawi bagi penerbitan terjemahan Kitab Fiqh Zakat dalam Bahasa Melayu.
Walaupun karya agung ini telah lebih awal diterjemahkan ke dalam Bahasa Indonesia oleh Profesor Dr. K.H Didin Hafidhuddin bersama sekelompok penterjemah, perubahan zaman dan perbedaan istilah menimbulkan keperluan mendesak untuk menerjemahkan kitab ini ke dalam Bahasa Melayu.
Naskah terulung yang dihasilkan oleh PPZ-MAIWP dengan kerjasama dari Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) boleh dianggap sebagai terjemahan pertama dalam Bahasa Melayu yang dihasilkan. Secara umum, buku ini membincangkan secara komprehensif dan khusus mengenai isu-isu berkaitan zakat sama ada dari aspek teori mahupun persoalan kontemporari.
Kitab Fiqh Zakat karya Agung Almarhum Dr. Syeikh Yusuf Al-Qaradawi merupakan rujukan utama dalam aspek hukum dan pengoperasian zakat. Pengisiannya menjadi rujukan untuk penambahbaikan dan kemajuan bagi institusi-institusi zakat di Malaysia.
PPZ-MAIWP mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak yang turut terlibat dalam penerbitan terjemahan ini antaranya Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Mufti Negeri Johor, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Negeri Johor.