Ini Empat Tip Penting Untuk Mohon UPU Online
Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang diumumkan pada Isnin lalu telah menyaksikan seramai 11,713 calon yang mendapat keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.
Manakala, seramai 226,358 daripada 373,255 calon telah lulus sekurang-kurangnya semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 57.1 peratus atau 213, 624 calon pada tahun 2022.
Bercakap mengenai keputusan SPM ini, pelajar semestinya sedang mengorak langkah untuk memasuki ‘fasa’ baharu kehidupan mereka iaitu untuk menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi.
Seperti yang diketahui, sebelum memasuki mana-mana universiti, mereka perlu melakukan permohonan. Selain memilih universiti, mereka juga perlu menitikberatkan mengenai bidang yang diminati.
Bagi permohonan ke universiti awam, pelajar perlu memohon menerusi UPU Online dan diberi peluang untuk menyenaraikan 12 program pilihan.
Permohonan UPU fasa pertama telah dibuka pada Februari hingga 29 Mac lalu dan fasa kedua pula adalah dari 29 April hingga 9 Jun.
Bagaimanapun, memohon UPU ini juga memerlukan cara yang betul kerana tersilap langkah mungkin pelajar akan gagal mendapat tawaran. Lebih merisaukan, jika pelajar tersilap memilih program atau bidang yang akan dipelajari nanti.
Justeru, berikut merupakan tip untuk memohon UPU:
1. Kenal pasti bidang yang diminati
Memilih bidang yang diminati ketika di universiti adalah sangat penting kerana ia juga menentukan masa depan kita. Anda perlu menyenaraikan pilihan bidang yang diminati dan susun mengikut tahap minat.
Sebagai contoh, anda boleh meletakkan bidang Perubatan sebagai pilihan pertama, bidang Farmasi yang kedua, Kejuruteraan Kimia yang ketiga, Sains Aktuarial yang keempat dan Psikologi yang kelima.
2. Semak syarat kelayakan program
Walaupun mempunyai bidang yang diminati, anda perlu menyemak sama ada ia memenuhi syarat minimum yang telah ditetapkan.
Bagi lepas SPM/STPM tahun semasa, sistem UPU Online hanya akan menyenaraikan program yang anda layak untuk mohon sahaja.
3. Semak purata merit
Mungkin ramai yang belum tahu, anda juga perlu membuat semakan purata merit bagi bidang yang ingin dipohon dan bandingkan dengan pencapaian merit pelajar sendiri.
Menurut UniAssist, jika merit pelajar lebih rendah daripada purata merit bidang yang ingin dipohon, maka peluang untuk ditawarkan tempat bagi bidang tersebut adalah rendah memandangkan pelajar perlu bersaing dengan pemohon lain yang memperoleh merit lebih tinggi.
Anda boleh membuat kiraan pencapaian merit itu melalui Kalkulator Merit di UPU Pocket.
4. Buat pilihan program
Seperti yang dinyatakan tadi, anda boleh menyenaraikan 12 program mengikut pilihan masing-masing. Setelah itu sistem akan membuat semakan susunan Markah Merit berdasarkan tiga kriteria utama iaitu Syarat Kelayakan, Kekosongan Tempat dan Keputusan Ujian/ Temuduga (bagi program bertemuduga sahaja).
Jika anda mencapai tahap minimum atau melebihi purata merit bidang pilihan, anda boleh pecahkan 12 pilihan program tersebut kepada tiga atau empat bidang teratas di beberapa IPTA pilihan dengan program yang sama.
Namun perlu diingatkan bahawa pilihan 1 adalah sangat penting.

Sumber: UniAssist