Baru Terima Keputusan SPM, Johan Ghazali Bakal Lawan Nguyen Tran Sabtu Ini
Jaguh Muay Thai negara dan bintang One Championship, Muhamad Johan Ghazali Zulfikar, 18, yang baru sahaja menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu lalu akan berdepan Nguyen Tran Duy Nhat, Sabtu ini.
Johan yang mesra disapa Jojo akan meneruskan pertarungan keenam menentang juara WMF Muay Thai lima kali dari Vietnam itu di saingan ONE Championship: ONE 167, yang akan berlansung di Impact Arena, Bangkok, Thailand.
“Saya cuma nak anda semua tahu, saya akan membawa nama Malaysia ke pentas yang besar.
“Saya akan berentap dalam pertarungan ONE 167 di Bangkok, Thailand pada 8 Jun ini,” katanya dalam satu klip video.
Dia turut menambah, orang ramai boleh memberikan sokongan terhadapnya dalam pertandingan menentang peserta dari Vietnam itu pada 8 Jun depan.
Nak menang bukan nak ganjaran
Sementara itu, Jojo sebelum ini menekankan motivasinya setiap kali beraksi di gelanggang bukanlah kerana wang ringgit, lapor Sinar Harian.
Sebaliknya, atlet dari Sarawak itu menegaskan setiap kali menjejakkan kaki ke dalam gelanggang, dia ingin mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa termasuk bertarung demi legasinya.
Menerusi pertarungan tersebut, pemenang berpeluang meraih AS$50,000 (RM235,332.68) sebagai ganjaran prestasi jika melepasi syarat ditetapkan.
BACA: Selebriti Antarabangsa, Fan Bingbing Duta Pelancongan Tahun Melawat Melaka 2024
“Saya tidak menjadikan wang sebagai motivasi utama kerana saya memang suka bertarung dan mahu buat Malaysia bangga.
“Kalau dapat ganjaran, saya anggap itu sebagai bonus,” ujarnya sewaktu sesi bersama media secara atas talian pada Isnin.
Menceritakan mengenai pertarungan tersebut, Johan berkata Tran Duy merupakan lawan paling sukar dalam arena sukan muaythai.
“Rasanya Tran Duy adalah lawan yang paling sukar sejak dalam bidang muaythai.
“Dia berpengalaman dan dia juga sudah lama dalam arena ini tapi saya sudah bersedia untuk berdepannya,” katanya lagi.
Pada 8 Disember tahun lalu, Johan menumbangkan juara WBC dari Mexico, Edgar Tabares menerusi kemenangan ‘knockout’ (KO) dalam tempoh 36 saat di Bangkok, merupakan kali terakhir dia bertarung.
Dia mencipta sejarah apabila menjadi atlet tempur termuda memperoleh kontrak One Championship bernilai AS$100,000 (RM463,300) pada Oktober lalu.
Sumber: Astro, Sinar Harian