G-Dragon Dilantik Sebagai Profesor Di Sebuah Institusi Korea
Penyanyi Kumpulan K-pop Big Bang, G-Dragon dilantik sebagai profesor sementara Jabatan Kejuruteraan Mekanikal di Institut Sains dan Teknologi Termaju Korea (KAIST), lapor The Korea Herald.
Menurut KAIST, pelantikan penyanyi itu bertujuan untuk mengembangkan daya saing global budaya negara itu dengan memasukkan sains dan teknologi moden yang dibangunkan di institusi itu ke dalam kandungan Korea.
“Saya berbesar hati menjadi profesor sementara di KAIST, sebuah sekolah yang melahirkan ramai intelek saintifik.
“Saya mengharapkan sokongan yang hebat daripada pakar sains dan teknologi terbaik dalam kepakaran hiburan saya,” ujarnya.
Selebriti berusia 36 tahun itu berkata demikian sewaktu berada di forum Innovate Korea yang dianjurkan bersama oleh Herald Media Group, KAIST, Majlis Penyelidikan Sains dan Teknologi Kebangsaan, di KAIST kampus di Daejeon hari ini.
Sementara itu, KAIST dalm satu kenyataan turut mengalu-alukan kedatangan penyanyi itu.

“Profesor Kwon (G-Dragon) merancang untuk bekerjasama dalam penyelidikan teknologi berkembar digital untuk artis Hallyu, penyelidikan mengenai penumpuan budaya Korea dan teknologi.
“Ia termasuk kecerdasan buatan (A), robot dan metaverse, membangunkan avatar artis menggunakan teknologi terkini seperti volumetrik, tangkapan gerakan dan haptik di Pusat Penyelidikan Enter-tech (Hiburan dan Teknologi) KAIST-Galaxy Corporation (nama tentatif) yang akan ditubuhkan dalam jabatan kejuruteraan mekanikal di KAIST,” kata KAIST.
BACA: Kastam Arah Lori Kontena Asal Israel Cuba Masuk Perlis Dari Thailand Patah Balik
Difahamkan, G-Dragon juga akan memberi syarahan mengenai kepimpinan kepada pelajar sarjana dan siswazah untuk dua tahun akan datang.
Selain itu, dia juga akan berkongsi pengalamannya sebagai artis terkenal dunia untuk memberi inspirasi kepada pelajar dengan visi dan wawasannya mengenai dunia.

KAIST berkata pengalaman artistik G-Dragon akan membantu pelajar berkembang sebagai bakat kreatif dan disiplin.
Pada bulan Januari, penyanyi itu membuat penampilan mengejut di CES 2024, pameran IT dan elektronik pengguna terbesar di dunia di Las Vegas, bersama Galaxy Corporation.
Tidak hanya itu, G-Dragon juga akan bekerja sebagai duta global KAIST bagi membantu mempromosikan universiti di luar negara.
G-Dragon juga difahamkan sedang membuat persiapan untuk kemunculan semula dengan album solo baharu yang bakal didedahkan pada separuh kedua tahun ini.
Ia akan menjadi album solo pertamanya selepas tujuh tahun, dengan album mini terakhirnya berjudul “Kwon Ji Yong” dikeluarkan pada 2017.
Sumber: The Korean Herald