Siakap Keli
Kredit: Bernama

Bukan SPM Je, Ni Laluan Lain Ke Universiti Adik-adik Boleh Cuba

Bukan SPM Je, Ni Laluan Ke Universiti Adik-adik Boleh Cuba

*p/s: tanpa SPM bukan bermakna tanpa pendidikan & main social media sepanjang hari ye.

Pada 27 Mac lalu, seramai 11,713 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah mendapat semua A dalam setiap mata pelajaran yang diambil. Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, angka itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu di mana seramai 10,109 calon memperoleh keputusan serupa.

Malah, Gred Purata Nasional (GPN) juga menunjukkan peningkatan lebih baik iaitu 4.60 berbanding 4.74 pada tahun 2022. Peratusan murid yang lulus juga turut meningkat daripada 213,624 calon kepada 226,358 calon pada tahun lalu.

Bagaimanapun, dalam peningkatan ini, wujud ‘trend’ yang kurang menyenangkan apabila ada sebahagian murid yang seolah ‘berbangga’ menayang keputusan semua gagal dan tidak hadir di dalam slip peperiksaan, kononnya SPM bukan penentu segalanya.

Memang ada orang berjaya walaupun keputusan SPM biasa-biasa, namun kejayaan datang dengan usaha, bukan berbangga dengan sederet G dan TH dalam slip keputusan semata-mata.

Sikap merendahkan kepentingan pendidikan secara tidak langsung menunjukkan kurangnya usaha dalam menjalankan amanah menuntut ilmu, sekaligus menafikan kepentingannya dalam kehidupan seharian.

Biarpun ada banyak laluan lain untuk berjaya selain mengambil SPM, namun ia tidak bermaksud terus meninggalkan pendidikan. Kali ini kami akan kongsikan laluan-laluan yang boleh para pelajar ikuti untuk menggapai cita-cita mengikut minat masing-masing.

1. International General Certificate of Secondary Education (IGCSE)

Kredit: Freepik

IGCSE merupakan pensijilan kurikulum yang setaraf dengan SPM. Jika di Malaysia kita diselia oleh Kementerian Pendidikan (KPM), IGCSE diselia oleh University of Cambridge International Examinations (CIE).

Bagi pelajar yang inginkan jalan pintas untuk masuk ke universiti, mereka boleh mendaftarkan diri untuk menduduki IGCSE mengikut subjek yang mereka minati.

Selesai IGCSE, mereka boleh memilih untuk terus ke peringkat A-level ataupun asasi dalam kursus pilihan masing-masing sama ada di universiti swasta tempatan atau luar negara.

Bagaimanapun, kos untuk menduduki peperiksaan ini agak mahal dengan yuran sekitar RM600 – RM800 atau lebih bagi satu subjek. IGCSE sering menjadi pilihan mereka yang ke sekolah swasta mahupun homeschool.

2. APEL – Accreditation of Prior Experience Learning

APEL merupakan sistem pengiktirafan di mana seseorang dinilai berdasarkan pengalamannya sama ada melalui pengalaman bekerja atau pembelajaran kendiri.

Misalnya, jika Ali (bukan nama sebenar) tidak mempunyai SPM, tetapi ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, dia boleh menjalani ujian APEL.

Calon akan dinilai melalui ujian aptitud dan portfolio mereka, sama ada latar belakang pendidikan atau pengalaman bekerja. APEL juga menjadi pilihan bagi mereka yang sudah bekerja dan ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Calon yang melepasi ujian boleh melanjutkan pembelajaran ke peringkat diploma, ijazah, sarjana & kedoktoran di universiti swasta atau awam yang terpilih.

3. TVET – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional

TVET merupakan salah satu laluan terkenal selain SPM. Bagi pelajar yang minatkan bidang teknikal dan kemahiran, TVET adalah jalannya. Inisiatif ini adalah gabungan kerjasama antara beberapa kementerian antaranya KPM, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Pelajar boleh memilih aliran TVET sama ada selepas Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) mahupun SPM. Sehingga kini, terdapat 1345 institusi menawarkan program TVET bagi semua peringkat pendidikan.

Muhamad Faizal, lepasan GIATMARA Balik Pulau dalam bidang Teknologi Automotif pada tahun 2013 kini seorang mekanik pasukan lumba kereta yang berpangkalan di United Kingdom. (Gambar: GIATMARA)

Menariknya, pelajar akan didedahkan kepada latihan dalam industri secara lebih mendalam berbanding belajar teori di dalam kelas semata. Oleh itu, graduan TVET lazimnya dianggap lebih cekap dan menjadi pilihan majikan untuk diambil bekerja.

Malah, graduan TVET juga berpeluang untuk memulakan perniagaan sendiri dengan sokongan serta insentif daripada agensi-agensi di bawah kerajaan. Bahkan, ramai lepasan program ini berjaya membuktikan mereka mampu bersaing seiring lepasan akademik yang lain.

Antara lepasan aliran TVET yang boleh dijadikan inspirasi adalah adik Nur Izzati Athirah Mohamad Yusoff yang berjaya menjadi wanita pertama bekerja sebagai jurukimpal bawah laut pada usia semuda 22 tahun. Graduan Kursus Kimpalan Dalam Air di Kolej Vokasional Taiping ini dikatakan memperoleh pendapatan mencecah RM18,000 sebulan.

Anak muda TVET jadi usahawan, jana pendapatan 6 angka sebulan

 

Biarpun tiada kelulusan UPSR & SPM, Lokmanulhakim Abd Adzis, 34 kini menjadi usahawan hasil mempelajari kursus kemahiran di GIATMARA.

“Saya tiada sijil, saya tiada apa-apa dalam bentuk akademik. Pada masa itu, hanya GIATMARA sahaja yang menerima pelajar yang tiada sijil,” kata pelajar Jurusan Penyejukbekuan Penyaman Udara GIATMARA Gombak itu.

“Saya memang tidak ada pengalaman dalam bisnes tetapi GIATMARA memberi pilihan semasa fasa pembelajaran itu nak habis sama ada nak bekerja atau menjadi usahawan. Saya tiada UPSR, SPM, diploma univerisiti.

“Jadi usahawan adalah yang paling terbaik untuk saya bina kewangan dan pendapatan yang bagus. Faktor kesusahan keluarga dan faktor pencapaian yang saya nak capai pada masa itu menyebabkan saya terlibat dengan keusahawanan,” katanya.

Jelas Lokmanulhakim, hasil sumbangan MARA dan GIATMARA, beliau kini berjaya menjadikan syarikatnya sebagai syarikat Sendirian Berhad (Sdn Bhd) dengan tiga cawangan dan lebih 35 orang staf.

“Alhamdulillah, jualan kita sebulan pun lebih daripada enam angka,” ujarnya.

Graduan-graduan TVET ini membuktikan mereka boleh berdiri sendiri tanpa mengharapkan makan gaji semata.

universiti tanpa spm

Untuk adik-adik yang berminat untuk memasuki aliran TVET, bolehlah sertai Sambutan Hari TVET Negara pada 7 dan 8 Jun ini di Institut Latihan Perindustrian Kuala Langat, Banting, Selangor.

Di sini, sebanyak lima hub akan dibuka meliputi ruang pameran, seminar, karnival kerjaya, keusahawanan dan cabaran TVET.

Di hub 1, adik-adik boleh mendapatkan inspirasi daripada kisah-kisah kejayaan graduan selain menyaksikan demonstrasi kemahiran, pameran teknologi serta pameran program TVET oleh 12 Kementerian.

Di hub 2 pula, pengunjung boleh menyertai seminar kerjaya serta mendengar perkongsian daripada wakil industri sendiri mengenai ekosistem TVET.

Sementara itu, pengunjung juga boleh menyertai temuduga terbuka industri MyFuture Job di mana sebanyak 3,000 jawatan kosong akan dibuka.

universiti tanpa spm

Orang ramai boleh melihat pameran produk usahawan di hub keempat selain menyaksikan cabaran TVET di hub terakhir yang merangkumi cabaran Dron & Robot serta pertandingan Junior Skill Malaysia (JSM).

Untuk maklumat lanjut, layari http://www.tvet.gov.my/tvet2024

Sekitar persediaan hari TVET negara.

Amira

Love yourself.