Siakap Keli
perkhidmatan digital

Kerajaan Akan Menaik Taraf Portal Digital Malaysia.Gov.My Selaras Dengan Aspirasi Pendigitalan Negara

Kerajaan Akan Menaik Taraf Portal Digital Malaysia.Gov.My Selaras Dengan Aspirasi Pendigitalan Negara

Transformasi penyampaian perkhidmatan digital kerajaan perlu lebih memberi fokus kepada pengalaman pelanggan (customer experience) dan berasaskan kepada pendekatan keseluruhan kerajaan (Whole-of-Government) secara bersepadu dan merentas agensi secara interoperable dan seamless

Anjakan baharu ini memperlihatkan usaha proaktif kerajaan dalam melonjakkan perkhidmatan digital kerajaan melalui konsep Digital First dalam tempoh 6 bulan (Jun sehingga Disember 2024) dan seterusnya. Antara fokus dalam anjakan strategi ini adalah saluran digital bersepadu kerajaan berdasarkan pengalaman pelanggan. 

Impak islah (pembaharuan) yang dilihat melalui pendekatan terkini ini dapat memberikan nilai tambah kepada 4 kumpulan sasar kerajaan iaitu rakyat, komuniti perniagaan, agensi kerajaan dan penjawat awam. 

Lonjakan perubahan ini telah mengambil kira trend pencapaian semasa pendigitalan sektor awam yang diukur melalui Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021-2025. Pelan ini dibangunkan pada tahun 2021 oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia, yang kini dikenali sebagai Jabatan Digital Negara. 

Sehingga Disember 2023, pencapaian pelan strategik tersebut adalah mengikut jadual yang ditetapkan iaitu sebanyak 57%. Bagi mencapai sasaran yang ditetapkan menjelang tempoh akhir pelan tersebut iaitu pada tahun 2025, Kementerian Digital beriltizam untuk menawarkan lebih banyak perkhidmatan digital yang bersepadu, dipercayai dan selamat. 

Menjelang kepengerusian ASEAN 2025 yang akan dikendalikan oleh Malaysia, adalah signifikan bagi negara kita menambahbaik mutu penyampaian digital kerajaan yang mampu berdaya saing di peringkat global.

Untuk itu, asas dalam memastikan usaha kerajaan yang progresif ke arah perkhidmatan digital bersepadu yang berkualiti adalah berlandaskan kepada Aspirasi Strategi Digital First (ASDF) yang diluncurkan pada hari ini. ASDF menggabung jalinkan 6 teras iaitu Minda Digital, Berpacukan data, Berpaksikan Rakyat, Rekabentuk Berteraskan Keselamatan, Tadbir Urus Digital serta Bakat dan Kemahiran. 

1.Teras Pertama: Minda Digital mengutamakan cara berfikir dan bertindak menggunakan teknologi digital untuk menjana nilai, menyelesaikan masalah dan mencapai matlamat organisasi. 

2.Teras Kedua: Berpacukan Data memanfaatkan data dalam pembangunan inisiatif pendigitalan untuk merealisasikan sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap, cerdas dan tangkas melalui perkongsian data merentas agensi. 

3.Teras Ketiga: Berpaksikan Rakyat menyediakan perkhidmatan digital bersepadu berdasarkan keperluan sasaran pengguna secara menyeluruh dan inklusif supaya tiada rakyat yang terpinggir. 

4.Teras Keempat: Reka Bentuk Berteraskan Keselamatan mengutamakan prinsip keselamatan secara menyeluruh dalam pembangunan inisiatif pendigitalan untuk mewujudkan dan menjamin keyakinan rakyat dalam berurusan dengan kerajaan dalam talian. 

5.Teras Kelima: Tadbir Urus Digital bertujuan mewujudkan peruntukan perundangan dan tata kelola yang jelas dalam pembangunan inisiatif pendigitalan bagi memastikan integriti kerajaan dan kebolehpercayaan rakyat. 

6.Teras Keenam: Bakat dan Kemahiran bertujuan memupuk minat berterusan dalam usaha peningkatan bakat dan kemahiran aspek teknikal dan bukan teknikal seiring dengan perkembangan teknologi digital baharu. 

Kementerian Digital melalui Jabatan Digital Negara telahpun melaksanakan pelbagai usaha proaktif termasuk mengadakan pelbagai siri libat urus secara berkala dengan Ketua Pegawai Digital (Chief Digital Officer – CDO) di semua peringkat termasuklah Kementerian, Agensi Kerajaan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri serta pihak lain yang berkepentingan bagi memastikan pendigitalan di Malaysia berada pada tahap yang memuaskan. 

CDO perlu berikan keutamaan dan memastikan inisiatif pendigitalan di agensi masing-masing memenuhi keperluan kumpulan sasar. Pelaporan pendigitalan sektor awam juga perlu dimuatnaik di portal Jabatan Digital Negara dan media sosial bagi memberikan informasi terkini bagi pengetahuan rakyat.

Portal sedia ada kerajaan ‘MyGovernment’ yang boleh dilayari di Malaysia.gov.my yang telah dilancarkan pada 2018 akan dinaiktaraf dan diperkukuhkan lagi dengan paparan lebih perkhidmatan kerajaan melalui bantuan semua kementerian demi memudahcarakan interaksi antara masyarakat dan agensi kerajaan. Ini akan dilaksanakan melalui kerjasama CDO yang dilantik daripada kementerian masing-masing tersebut dan Jabatan Digital Negara. 

Kerajaan Madani sentiasa terbuka untuk menerima input dari semua pihak untuk meningkatkan lagi prestasi perkhidmatan Kerajaan. Oleh itu, orang ramai juga dijemput untuk mengemukakan cadangan penambahbaikan perkhidmatan digital kerajaan dengan menamakan perkhidmatan secara terperinci dan cadangan pembaikan untuk perkhidmatan itu kepada Jabatan Digital Negara melalui pautan www.jdn.gov.my atau www.mydigital.gov.my sehingga 6 Julai 2024 ini. 

Semua cadangan penambahbaikan akan diteliti serta langkah-langkah penambaikan diambil oleh Jabatan Digital Negara bersama jabatan atau Kementerian terlibat dalam usaha bersama untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan portal digital negara.

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.