Menjelang Hari Denggi ASEAN dan Sedunia pada 15 Jun, hampir 500 pakar denggi dari 20 negara akan berkumpul untuk membincangkan usaha pengurusan penyakit denggi dalam pelbagai sektor dan inisiatif strategik bagi memperbaiki usaha kawalan denggi.
KUALA LUMPUR, 5 Jun 2024 – Dengan hampir 390 juta jangkitan pada setiap tahun, denggi masih kekal sebagai salah satu penyakit vektor paling meluas dan semakin menular di duniai. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga telah menamakan denggi sebagai salah satu daripada sepuluh ancaman kesihatan global pada tahun 2019ii. 70% daripada beban penyakit global ini digalas oleh benua Asia, di mana Indonesia, Myanmar dan Thailand merupakan antara 30 negara dengan rekod endemik tertinggi di dunia
Kementerian Kesihatan Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 86.3% kes denggi pada tahun 2023 berbanding tahun sebelumnya. Dari segi kadar mortaliti, 9 kes kematian telah dilaporkan pada bulan Februari tahun ini berbanding dengan 6 laporan dalam tempoh sama pada tahun lepas.
Bagi menangani ancaman penyakit berkenaan, hampir 500 pakar denggi terkemuka dari 20 negara akan berkumpul di Sidang Kemuncak Denggi Asia Ke-7 yang akan berlangsung dari 5 hingga 7 Jun di Kuala Lumpur.
Terdiri daripada golongan doktor, ahli akademik, penyelidik, pakar kesihatan awam dan penggubal dasar, sidang ini akan membincangkan idea dan maklumat terkini, serta pencapaian mereka dalam pencegahan dan kawalan denggi.
Dengan tema, “Towards Zero Dengue Deaths: Innovation, Collaboration, Action in Asia”, sidang kemuncak yang dianjurkan dengan kerjasama bersama Asia Dengue Voice & Action (ADVA); Fondation Mérieux (FMx); Global Dengue and Aedes Transmitted Diseases Consortium (GDAC); Southeast Asian Ministers of Education Tropical Medicine and Public Health Network (SEAMEO TROPMED); the International Society for Neglected Tropical Diseases (ISNTD); dan Dengue Prevention Advocacy Malaysia (DPAM) ini juga telah disertai dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato Lukanisman Awang Sauni.
“WHO telah menggariskan objektif yang jelas dalam rangka kerja 2021-2023 Negelected Tropical Diseases Roadmap: pengurangan beban dan kejadian denggi sedunia sebanyak 25%, serta mengurangkan kadar kematian yang boleh dicegah kepada angka sifar menjelang 2030. Bagi mencapai matlamat ini, kita memerlukan strategi multimodal yang menyeluruh, merangkumi epidemiologi, pengurusan vektor bersepadu, kawalan alam sekitar, penjagaan pesakit, makmal dan vaksin,” kata Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato Lukanisman Awang Sauni.
“Sidang Kemuncak Denggi Asia menawarkan satu platform strategik untuk memberi penggubal dasar ruang bagi membina rangkaian dan belajar mengenai strategi yang berjaya dilaksanakan di negara lain bagi memenuhi matlamat WHO. Kemajuan dari segi kawalan vektor, kaedah pemodelan, dan vaksin denggi boleh membantu dalam pembentukan pendekatan baru untuk mencapai objektif kita. Pengukuhan kadar pengesanan awal dan pengurusan klinikal merupakan kunci utama bagi mencapai matlamat pengurangan kadar fataliti,” kata Pengerusi ADVA dan Jawatankuasa Penganjur Sidang Kemuncak Denggi Asia Ke-7, Profesor Datuk Dr Zulkifli Ismail.
Cabaran Dengue Slayers Challenge
ADVA memahami peranan penting yang perlu dimainkan oleh generasi akan datang dalam menangani isu kawalan denggi. Dengan kerjasama Junior Achievement, ADVA akan melancarkan cabaran Dengue Slayers Challenge buat julung kalinya di lima negara Asia (Indonesia, Malaysia, Singapura, Filipina dan Thailand). Inisitif ini akan melibatkan golongan belia untuk memahami dunia kolaborasi antarabangsa sambil merangka penyelesaian-penyelesaian inovatif dan membina pemahaman tentang endemik denggi yang lebih meluas.
Pemenang tempat pertama dari setiap negara akan mewakili negara mereka di pusingan akhir Asia Pacific Grand Finals di Kuala Lumpur pada 7 Jun 2024. Peserta-peserta ini akan disenarai pendek daripada 153 pasukan yang terdiri daripada 459 pelajar.
“Kami ingin menginspirasikan generasi akan datang dengan mendedahkan anak muda kepada cabaran dalam menghadapi endemik denggi, serta berikan mereka semangat untuk merangka penyelesaian inovatif bagi mengawal wabak denggi bagi masyarakat setempat mereka,” kata Pengarah Eksekutif Junior Achievement Malaysia, Shanthi Kanthaswamy.
Berganding Bahu, Membasmi Denggi
Pertukaran pendapat tentang amalan terbaik, perkongsian sumber dan maklumat untuk membuat keputusan termaklum adalah penting bagi kemajuan usaha pengawalan dan pencegahan denggi sedunia. Bagi mencapai matlamat ini, ADVA dan agensi penjagaan kesihatan berasaskan nilai Vista Health telah melancarkan dasar Asia Dengue Policy Working Group pada 29 April 2024. Ini merupakan kumpulan kerja bersama pertama di bawah ADVA Dengue Task Force dengan tujuan meningkatkan keutamaan pencegahan denggi di peringkat negeri, kebangsaan, dan serantau.
Kumpulan kerja ini akan berusaha untuk menyatukan pelbagai pihak-pihak berkepentingan dan menyediakan platform untuk dialog, membina konsensus, pembuatan keputusan berdasarkan bukti dan polisi pencegahan denggi efektif melalui perancangan strategik. Misi bersama mereka adalah untuk menerajui usaha ke arah matlamat WHO iaitu mencapai Sifar Kematian Denggi (Zero Dengue Deaths) menjelang 2030.
“Dalam menangani krisis denggi ini, kami boleh menjalankan beberapa dasar penting seperti kawalan vektor, pendidikan awam dan meningkatkan kesedaran umum. Memandangkan ini merupakan krisis besar, saya mengesyorkan perubahan dari segi pemikiran. Penggubal dasar harus utamakan vaksin yang terbukti berkesan dan selamat, jangan tunggu sehingga ada penyelesaian yang sempurna,” kata Penasihat Asia Dengue Voice and Action (ADVA), Profesor Tikki Pangestu.
Hari Denggi Sedunia
Pada tahun 2021, ISNTD dan ADVA telah mengumumkan Hari Denggi Sedunia untuk meningkatkan kesedaran global, berkongsi amalan-amalan terbaik, dan mengutamakan persediaan dalam usaha menangani denggi. Kawalan dan pembasmian denggi memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak berkepentingan.
Oleh itu Hari Denggi Sedunia menggesa pihak kerajaan, pakar penjagaan kesihatan, sektor kerajaan dan swasta, sekolah-sekolah dan universiti, serta semua orang awam di negara-negara endemik denggi untuk bergabung bersama bagi menggesa dan menggalakkan tindak balas kolektif ke arah kawalan denggi.
Untuk maklumat lanjut tentang Sidang Kemuncak Denggi Asia ke-7, sila layari https://www.asiadenguesummit.org/.
Tentang ADVA
Asia Dengue Voice and Action (ADVA) ialah kumpulan kerja saintifik yang memfokuskan advokasi terhadap vaksin denggi di Asia dengan tujuan untuk menyebarkan maklumat dan memberikan pendapat atas strategi pengenalan vaksin denggi di Asia.
Kumpulan ini bermatlamat untuk menterjemahkan sains vaksinasi denggi untuk disampaikan secara jelas kepada pembuat dasar, orang awam dan pakar penjagaan kesihatan. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.adva.asia/
Tentang DPAM
Dengue Prevention Advocacy Malaysia (DPAM) ialah kumpulan advokasi bebas yang menggabungkan usaha daripada pertubuhan-pertubuhan perubatan dan organisasi bukan kerajaan untuk membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkukuh inisiatif pencegahan, pengurusan dan kawalan denggi kebangsaan.
Ia diketuai bersama oleh Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA), Persatuan Kawalan Jangkitan dan Penyakit Berjangkit Malaysia (MyICID), Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC), Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), dengan kerjasama bersama Persatuan Parasitologi dan Perubatan Tropika Malaysia (MSPTM), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Asia-Pacific Academic Consortium for Public Health Kuala Lumpur (APACPH-KL) dan Rotary International District 3300.