Lelaki Kongsi Kaedah Matikan Pokok Besar Tanpa Guna Racun
Apabila pokok yang ditanam telah dimamah usia, ia akan memberi risiko terhadap persekitaran di mana ia akan tumbang pada bila-bila masa sahaja.
Meskipun telah ditebang, akan ada anak pokok tumbuh kembali pada bahagian pangkal dan tidak lama selepas itu ia akan tumbuh dengan cepat.
Perkara itu semestinya menimbulkan kerunsingan kerana selepas ia tumbuh kembali, pokok tersebut akan terus membesar dan meletakkan nyawa orang ramai dalam bahaya.
Jadi, bagaimanakah caranya untuk mengelakkan masalah itu berlaku?
Menerusi perkongsian Uzayr Ezra di Facebook Tukang Apa Hari Ini, pokok besar yang telah reput boleh ditebang dan dimatikan menggunakan satu kaedah ini.
Katanya, kaedah tersebut akan terus membantutkan pertumbuhan pokok itu dan mengelakkan ia tumbuh kembali.
Tambahnya lagi, dia mengetahui tentang kaedah tersebut selepas ia dikongsi oleh kontraktror Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang membuat kerja penebangan pokok besar sekitar kawasan perumahannya.

“Saya cuma ingin berkongsi salah satu kaedah mematikan pokok besar yang saya dapat dari kontraktor.
“Ini gambar di kawasan rumah saya. Setahun yang lepas ada kontraktor MBSA datang tebang beberapa pokok besar di kawasan perumahan saya dengan chainsaw.
“Kontraktor itu buat alur petak-petak macam dalam gambar. Hasilnya sampai sekarang tidak ada tumbuh anak-anak pokok yang baru,” ujarnya.
Jelasnya, tiada racun yang diperlukan untuk mematikan pokok tersebut, hanya melakukan alur petak sahaja.
Bagaimanapun, dia berkata sekiranya ingin membuang akar pokok itu individu perlulah mengorek tanah tersebut.
“Tidak ada isi racun pun, hanya gunakan chainsaw semata-mata.
“Bolehlah gunakan kaedah ini di rumah kita kecuali kalau nak buang sekali dengan akar terpaksalah korek tanah tu,” ujarnya.
BACA: Bas Bawa Rombongan Guru Terlibat Kemalangan, Dua Dilaporkan Maut
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warga maya turut bersetuju dengan perkongsian tersebut di mana mereka menyatakan ia adalah kaedah yang betul untuk mematikan pokok.
Segelintir mereka ada juga yang berkongsi cara lain untuk mematikan pokok yang sudah ditebang.
Cara tersebut adalah dengan menuang minyak hitam atau diesel untuk mempercepatkan pereputan.
“Saya tebang pokok selalu buat macam itu, tuang minyak hitam atau diesel supaya cepat reput,” komen warga maya.
Sumber: Uzayr Ezra/Facebook