Siakap Keli
pelaksanaan dlp
Sumber : BERNAMA

KPM Komited Tangani Isu Pelaksanaan DLP Di Sekolah

KPM Komited Tangani Isu Pelaksanaan DLP Di Sekolah

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil perhatian laporan  media mengenai bantahan pelaksanaan program Dual Language  Programme (DLP) di beberapa buah sekolah di Pulau Pinang.  

DLP adalah program di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia  Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang memberi pilihan  kepada sekolah untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam  pengajaran dan pembelajaran (PdP) mata pelajaran Sains dan  Matematik. Ia bertujuan untuk membantu murid meningkatkan  penguasaan berbahasa Inggeris dengan memberikan pendedahan  masa yang lebih melalui pengajaran dan pembelajaran (PdP)  mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah.  

Pelaksanaan program DLP adalah berdasarkan garis panduan seperti  yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian  Pendidikan Malaysia Bilangan 5 Tahun 2024: Garis Panduan  Pelaksanaan Dual Language Programme Tahun 2024 bertarikh  19 Mac 2024.  

Sekolah yang melaksanakan program DLP perlu memastikan peluang  turut disediakan kepada murid yang memohon untuk mengikuti  mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Kebangsaan atau  bahasa ibunda masing-masing. Pihak sekolah hendaklah memastikan  terdapat sekurang-kurangnya satu kelas di setiap Tahun/Tingkatan  yang melaksanakan PdP menggunakan bahasa Kebangsaan/bahasa  ibunda sebagai bahasa pengantar bermula dengan Tahun 1 dan  Tingkatan 1 untuk sesi persekolahan baharu mulai tahun 2024/2025. 

Bagi menangani isu bantahan pengendalian program DLP yang dibuat oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di beberapa buah sekolah  di Pulau Pinang, pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang  telah mengambil langkah proaktif dengan memulakan sesi libat urus dengan semua pihak terlibat. 

KPM komited untuk menyelesaikan isu yang berbangkit bagi memastikan program DLP dapat dilaksanakan dengan baik berdasar kepada garis panduan yang ditetapkan dan mencapai objektifnya. 

Nurul Naqiyah