Siakap Keli

Vaksin Denggi Qdenga®Takeda Kini Tersedia di Malaysia Bagi Individu Berusia 4 tahun dan Ke Atas

Vaksin Denggi Qdenga® Takeda Kini Tersedia di Malaysia Bagi Individu Berusia 4 tahun dan Ke Atas

KUALA LUMPUR, Malaysia, 11 Jun 2024 – Takeda Malaysia hari ini mengumumkan pelancaran Qdenga®, (MAL24026009ACZ & MAL24026010ACZ) (Vaksin Denggi Tetravalent [Live, Attenuated]), untuk pencegahan demam denggi yang disebabkan oleh kesemua empat serotip virus denggi.

Qdenga® telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Malaysia berdasarkan data meluas yang menunjukkan keberkesanan, keselamatan dan kualitinya. Vaksin ini adalah bagi individu berusia 4 tahun dan ke atas dan kini boleh didapati di kebanyakan hospital dan klinik swasta di seluruh negara.

“Pencegahan denggi yang efektif memerlukan pelbagai pendekatan. Kebolehdapatan Qdenga® adalah tambahan yang penting kepada strategi pencegahan dan pengurusan denggi secara bersepadu di Malaysia pada masa ini. Kami komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan pakar kesihatan untuk memastikan ketercapaian Qdenga® kepada semua rakyat Malaysia yang berkelayakan yang akan mendapat manfaat daripada imunisasi.

Kami amat memahami betapa pentingnya usaha melindungi komuniti kita daripada demam denggi dan mengenalpasti impak transformatif yang dibawakan oleh vaksin kepada kesihatan awam,” kata Dr Lynette Moey, Pengurus Besar Negara, Takeda Malaysia & Singapura.

vaksin denggi

Beban Denggi di Malaysia

Sejak dua dekad lepas, insiden denggi di peringkat global telah meningkat dan kini memberi kesan kepada kira-kira 129 buah negara, yang memberi ancaman global yang signifikan.  Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah kes telah meningkat daripada 500,000 pada 2000 kepada 5.2 juta pada 2019, dengan Asia dibebani sebanyak  70% daripada jumlah itu. 

Di Malaysia, kes-kes denggi telah meningkat secara signifikan dengan 123,133 kes dilaporkan pada 2023— mencatatkan peningkatan 86.3% dibandingkan dengan tahun sebelumnya. Kematian berkaitan denggi juga meningkat kepada 78.6%, dengan kes tertinggi bertumpu di Selangor. Pada suku pertama 2024, sebanyak 41,565 kes dilaporkan dan 28 kematian dikaitkan dengan komplikasi demam denggi, yang menunjukkan peningkatan berbanding dengan tempoh yang sama pada 2023.

Pakar kesihatan awam yakin bahawa program vaksinasi denggi yang dilaksanakan secara strategik, akan dapat mengurangkan beban disebabkan denggi, yang melibatkan setiap tahap masyarakat. Beban yang ditanggung oleh individu juga besar – ia boleh memberi kesan kepada seluruh isi rumah, antara lainnya mengancam mata pencarian, dan menyebabkan penyakit yang berpanjangan.

Apatah lagi, jangkitan kedua dikaitkan dengan risiko denggi yang lebih teruk, yang boleh menyebabkan kemasukan ke hospital, kerosakan organ dan kematian. 

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Profesor Datuk Dr Zulkifli Ismail, Konsultan Pakar Pediatrik dan Pakar Kardiologi Pediatrik, dan Pengerusi Dengue Prevention Advocacy Malaysia (DPAM), berkata “Denggi membebankan seluruh negara dan walaupun usaha intensif dilakukan untuk mengurangkan kesannya, kes terus meningkat, dengan kos kawalan vektor, kehilangan produktiviti dan penggunaan sumber penjagaan kesihatan. Untuk melawan denggi secara efektif, kita perlukan kerjasama semua pihak.

Ini bermakna menyatukan pihak kerajaan, swasta, institusi akademik, dan komuniti dalam usaha bersepadu untuk memerangi ancaman ini. Vaksinasi akan menjadi armamentarium tambahan yang akan melengkapkan usaha semasa dalam mengawal penyakit ini.”

Ujian klinikal Qdenga® berkenaan mencapai titik akhir keberkesanan vaksin (VE) menyeluruh dengan mencegah 80.2% daripada kes denggi bergejala pada 12 bulan selepas vaksinasi. Selain itu, Qdenga® mencapai titik akhir kedua utama dengan mencegah 90.4% kemasukan hospital pada 18 bulan selepas vaksinasi.

Sepanjang data pemeriksaan susulan yang bertempoh empat setengah tahun (54 bulan), Qdenga® menunjukkan perlindungan berterusan secara keseluruhan dan diterima dengan baik secara amnya, dengan VE yang berterusan sebanyak 84.1% terhadap denggi yang memerlukan kemasukan hospital dan 61.2% terhadap denggi bergejala.

Pada masa ini, Qdenga® telah diluluskan di lebih daripada 30 buah negara termasuk Kesatuan Eropah, United Kingdom, Brazil, Argentina, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Malaysia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan negara-negara memperkenalkan Qdenga® kepada program imunisasi awam di negara-negara dengan keamatan jangkitan denggi yang tinggi menjadi punca masalah kesihatan awam yang signifikan.

Qdenga® baru-baru ini telah dimasukkan ke dalam Senarai Vaksin Pra-Layak WHO, yang mengukuhkan kualiti dan kesesuaian untuk digunakan dalam program-program vaksinasi awam. Rakyat Malaysia kini boleh mendapatkan nasihat daripada doktor mereka serta ahli profesional penjagaan kesihatan di hospital dan klinik swasta untuk mengetahui lebih lanjut tentang vaksin bagi mencegah dan melindungi daripada denggi.

Nurul Naqiyah