Siakap Keli
anugerah kecemerlangan industri
Sumber : BERNAMA

Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2024 Iktiraf Peningkatan Prestasi Sektor Industri Malaysia

Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2024 Iktiraf Peningkatan Prestasi Sektor Industri Malaysia

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah menganjurkan  Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2024, bagi mengiktiraf syarikat-syarikat  Malaysia yang menunjukkan kecemerlangan dari segi amalan pengurusan, kualiti  produk dan perkhidmatan serta memberikan nilai tambah berterusan kepada  pemegang taruh.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1991, anugerah ini telah  menjadi acara dwi-tahunan yang dinanti-nantikan oleh para pemain industri. 

Sebanyak 13 kategori dipertandingkan dalam AKI 2024, dengan tiga anugerah  utama iaitu Anugerah Kecemerlangan Sektor Pembuatan (tiga kategori),  Anugerah Kecemerlangan Sektor Perkhidmatan (empat kategori), dan  Anugerah Kecemerlangan Kategori Terbuka (satu kategori).

Selain itu, satu  pemenang dari lapan kategori ini telah dipilih untuk menerima Anugerah  Perdana Menteri, anugerah paling berprestij yang mengiktiraf kecemerlangan  industri oleh kerajaan. 

Majlis penganugerahan telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia,  YAB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim, yang juga telah menyampaikan Anugerah  Perdana Menteri kepada pemenang yang terpilih. YB Senator Tengku Datuk Seri  Utama Zafrul Aziz, selaku tuan rumah, turut bersama meraikan para pemenang  dan peserta.

Antara kategori lain yang dipertandingkan adalah Anugerah Kecemerlangan  Syarikat Paling Berpotensi, yang diberikan kepada syarikat yang ditubuhkan  tidak melebihi lima tahun dan menunjukkan rekod positif dari segi jualan dan  keuntungan serta berpotensi untuk terus berkembang.

Anugerah  Kecemerlangan Industry4WRD yang diperkenalkan pada tahun 2020 turut  dipertandingkan dengan dua kategori berbanding satu kategori pada tahun  2020, iaitu untuk syarikat dengan jualan tidak melebihi RM50 juta dan syarikat  dengan pusingan jualan RM50 juta dan ke atas. 

Anugerah baharu yang diperkenalkan pada tahun ini ialah Anugerah  Kecemerlangan ESG (Environmental, Social and Governance), yang  mengiktiraf usaha syarikat dalam pematuhan ESG untuk memangkin  kelestarian. Ini mencerminkan komitmen MITI dalam menggalakkan amalan  perniagaan yang lestari dan bertanggungjawab, selaras dengan salah satu misi  Pelan Induk Perindustrial Baharu 2030 (NIMP 2030). 

Penilaian bagi AKI 2024 adalah berdasarkan Malaysia Business Excellence  Framework (MBEF), sebuah rangka penilaian yang diiktiraf di peringkat  antarabangsa dan digunapakai untuk menggalakkan amalan perniagaan  cemerlang bertaraf dunia. Penilaian berkaitan IR4.0 dan ESG juga dirangka  dengan teliti oleh MITI dan agensi-agensi yang terlibat dari awal pelaksanaan  IR4.0 dan ESG untuk industri. 

Tengku Zafrul berkata, “Pengiktirafan AKI memainkan peranan yang penting  dalam menggalakkan persaingan yang sihat dan pembaharuan berterusan  dalam sektor industri dan perdagangan kita. Kami di MITI juga melihat AKI sebagai salah satu inisiatif utama yang menyokong transformasi industri Malaysia bagi mendorong pertumbuhan ekonomi yang cemerlang, inklusif  dan lestari, selaras dengan misi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030. 

Sebagai Pemacu Potensi Global, MITI yakin AKI 2024 akan terus menggalakkan  budaya kecemerlangan dalam kalangan syarikat-syarikat Malaysia dan  memberi inspirasi kepada mereka untuk mencapai kejayaan yang berterusan  agar mampu bersaing di peringkat global.” 

Penilaian AKI diterajui oleh Majlis AKI yang dilantik oleh MITI dan dipengerusikan  oleh YBhg. Tan Sri Yong Poh Kon. Majlis AKI ini dibantu oleh ahli-ahli majlis yang  terdiri daripada tokoh-tokoh industri dan Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan. 

Mereka bertanggungjawab dalam menentukan kaedah dan kriteria penilaian,  memuktamadkan kategori, dan memilih pemenang bagi setiap kategori. Proses  penilaian dan penyenarai pendek syarikat-syarikat yang layak dicalonkan  sebagai pemenang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Penilai yang menyokong  Majlis AKI. 

Untuk maklumat lanjut mengenai Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2024,  sila layari laman web rasmi MITI di aki.miti.gov.my

Nurul Naqiyah