Siakap Keli
usahawan belia
Sumber : BERNAMA

Peruntukan RM12 Juta Manfaatkan Lebih 800 Usahawan Belia Di Bawah Program

Peruntukan RM12 Juta Manfaatkan Lebih 800 Usahawan Belia Di Bawah Program

KUALA LUMPUR, 11 Jun 2024 – Seramai 805 usahawan belia Bumiputera telah  berjaya dilatih di bawah Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) pada  tahun ini yang melibatkan peruntukan berjumlah RM12 juta. Program yang dijenamakan sebagai TUBE-X bersempena tahun ke-10 penganjurannya tahun ini  dilaksanakan oleh SME Corp.

Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan  Usahawan dan Koperasi (KUSKOP). Seramai 150 peserta Zon Utara, Zon Pantai  Timur dan Zon Tengah / Selatan telah diraikan semasa Sesi Temu Mesra (Meet & Greet) TUBE-X hari ini yang telah disempurnakan oleh YB Datuk Ewon  Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. 

Program yang turut dilaksanakan di Sabah dan Sarawak pada bulan Mei yang lalu menawarkan Geran Permulaan Perniagaan sehingga RM15,000.00 kepada setiap  peserta. Program berbentuk latihan asas keusahawanan ini bertujuan memupuk semangat keusahawanan dan membina ketahanan diri dalam kalangan usahawan  belia Bumiputera berusia 18 hingga 30 tahun bagi mengendalikan perniagaan mereka serta melahirkan lebih ramai pencipta pekerjaan (job creator) sekali gus menangani  masalah kebolehpasaran dalam kalangan belia. 

Menurut YB Datuk Ewon Benedick, “Sejak mula dilaksanakan pada tahun 2014,  seramai 7,738 Alumni TUBE telah berjaya mewujudkan 13,866 peluang pekerjaan dan  menjana nilai jualan terkumpul berjumlah RM154.38 juta hasil daripada perniagaan  yang dijalankan.

usahawan belia
Sumber : BERNAMA

Di pihak Kementerian pula, seiring dengan keberhasilan (outcome) Program TUBE ini, KUSKOP terus komited dalam usaha memperkasakan ekosistem  keusahawanan negara, sejajar dengan visi Dasar Keusahawanan Nasional 2030  (DKN 2030)”.

YBhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Bernard Giluk Dompok, Pengerusi SME Corp. Malaysia dalam ucapan aluannya pula berkata, “Program TUBE-X kembali  diadakan secara bersemuka atau fizikal dengan beberapa penambahbaikan yang  dilakukan dari segi penggubahan modul pembelajaran latihan asas keusahawanan  serta lain-lain pengisian program agar ia lebih segar dan mengikut keadaan semasa  serta nilai-nilai keusahawanan terkini”. 

Sementara itu, YBrs. Encik Rizal bin Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia menyatakan, “Sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam  pembangunan PMKS di Malaysia, tumpuan akan turut diberikan dalam pembangunan  usahawan belia Bumiputera.

Kami mengharapkan dengan sokongan berterusan  kepada Alumni TUBE, mereka dapat mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat seterusnya demi meningkatkan sumbangan kepada ekonomi negara,  terutamanya dalam pengwujudan peluang pekerjaan baharu dan meneroka pasaran eksport”. 

Dalam majlis yang sama, YB Datuk Ewon Benedick turut menyampaikan sijil tamat  kursus kepada peserta TUBE-X serta Anugerah Rancangan Perniagaan Terbaik dan  Peserta Terbaik selain menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA)  antara SME Corp. Malaysia dan P2P Nusa Kapital Sdn. Bhd.

MoA ini adalah bersempena pelancaran pembiayaan pinjaman alternatif di bawah Bumiputera MSMEs Financing Initiative (BMFI) bagi Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) yang menyediakan pembiayaan modal kerja sehingga RM200,000 dengan kadar keuntungan sehingga 3.5 peratus setahun. 

Hadir sama semasa Sesi Meet & Greet TUBE-X dan Pelancaran BMFI@BEEP adalah YBhg. Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha KUSKOP dan YBhg. Tan  Sri Datuk Seri Panglima Bernard Giluk Dompok, Pengerusi SME Corp. Malaysia.

Nurul Naqiyah