‘Ini Warisan Kita’: KPN Komited Memelihara Dan Melestari Bahan Arkib Sebagai Warisan Khazanah Negara
KUALA LUMPUR, 13 Jun 2024 – Sambutan Minggu Arkib Antarabangsa 2024 telah dirasmikan oleh YB Senator Puan Saraswathy Kandasami, Timbalan Menteri Perpaduan Negara pada hari ini. Sambutan ini telah bermula pada 9 hingga 14 Jun 2024 di seluruh negara bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya generasi muda terhadap peranan dan kepentingan institusi arkib dan bahan sejarahnya.
Pada asalnya, sambutan ini dikenali sebagai Hari Arkib Antarabangsa yang diadakan pada 9 Jun setiap tahun selaras dengan penetapan Mesyuarat Agung Tahunan International Council on Archives (ICA) pada tahun 2007.
Pada 2019, Sambutan Hari Arkib Antarabangsa ditukar kepada Minggu Arkib Antarabangsa untuk memberi peluang kepada institusi arkib seluruh dunia melaksanakan program/ aktiviti selama seminggu. Arkib Negara Malaysia (ANM) merupakan ahli aktif berstatus Institutional Member (Kategori A) dalam ICA.
Pelaksanaan sambutan ini melalui ANM adalah selari dengan flagship ‘Kembara Perpaduan’ di bawah kluster ‘Semarak Perpaduan’ dan juga inisiatif ‘Ini Warisan Kita’ yang diperkenalkan oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam usaha memelihara dan melestari bahan arkib sebagai warisan khazanah negara.
Selain itu, ia turut mendukung hasrat kerajaan untuk melahiran generasi yang bermaklumat serta mempunyai semangat perpaduan. Pada masa yang sama arkivis juga digesa melengkapkan diri dengan pengetahuan teknologi terkini untuk menyerlahkan diri sebagai profesional di dalam dan di luar negara.
Sambutan yang bertemakan #CyberArchive adalah berkaitan pembaharuan atau kemajuan teknologi dalam bidang kearkiban. Dalam landskap transformasi digital yang berkembang pesat, ANM memainkan peranan yang besar dalam mengukuhkan kerjasama serta rangkaian di kalangan institusi arkib dan arkivis di seluruh dunia untuk memelihara bahan arkib bagi memastikan ketersediaan dan kebolehcapaian kepada masyarakat dan generasi akan datang.
Sepanjang tempoh sambutan ini, pelbagai program signifikan dilaksanakan secara fizikal dan dalam talian yang memfokuskan kepada pemeliharaan khazanah dan warisan arkib sedunia. Antara pengisian sambutan adalah:
1.Bengkel Semarak Jawi: Tan Sri Zainal Abidin bin Ahmad (Pendeta Za’ba) yang bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran membaca dan menukar bahasa Jawi kepada bahasa Rumi (dikenali sebagai transliterasi) kepada koleksi bahan Pendeta Za’ba yang terdapat dalam simpanan ANM;
2.Program Explore Race @Memorial yang bertujuan menyebarluaskan Arkib Memorial dan eNegarawan supaya dihayati oleh generasi muda untuk memupuk semangat cintakan negara;
3.Pameran Koleksi Bahan Arkib; dan
- Lawatan berpandu ke ANM ibu pejabat/ ANM di Negeri dan Arkib Memorial.
Kemuncak program sambutan ini ialah Cakna Pengurusan Rekod Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang diadakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Program CAKNA Pengurusan Rekod ini dianjurkan kepada peserta daripada 153 PBT yang terdapat di seluruh Malaysia khusus bagi memastikan PBT sentiasa dilengkapkan dengan pengetahuan, peraturan dan standard terkini dan sedang berkuatkuasa dalam bidang pengurusan rekod awam.
Turut hadir ke majlis ini ialah YBhg. Datuk Azman bin Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Mohd. Dom, Pengerusi Lembaga Penasihat ANM, YBhg. Dato’ Jaafar Sidek bin Hj. Abdul Rahman, Ketua Pengarah ANM dan YBrs. Tuan Haji Mohamad Zahri bin Haji Samingon, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya.