Siakap Keli
minggu sains negara 2024

Minggu Sains Negara 2024 Sasar Pupuk Minat Pelajar Sekolah Terhadap STEM 

Minggu Sains Negara 2024 Sasar Pupuk Minat Pelajar Sekolah Terhadap STEM 

KUALA LUMPUR, 13 Jun 2024 – Penganjuran Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2024 bakal diteruskan pada tahun ini dengan sasaran memupuk minat pelajar sekolah terhadap bidang STEM dalam usaha membina bakat berkemahiran tinggi bagi mencapai sasaran negara berteknologi tinggi menjelang 2030. 

Pelaksanaan MSN pada tahun 2024 merupakan tahun yang ke-7 sejak dilancarkan pada tahun 2018. Usaha ini adalah komitmen MOSTI dalam membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kehidupan rakyat Malaysia secara konsisten dan berterusan.

Pelaksanaan Minggu Sains Negara adalah selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021 – 2030 bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan STI. 

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Tuan Chang Lih Kang, setiap program yang disusun di bawah Minggu Sains Negara menyasarkan penglibatan daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi, para guru, pihak industri serta orang awam. 

minggu sains negara 2024

Beliau turut memetik kajian analisa yang telah dijalankan oleh Pusat Maklumat Sains Dan Teknologi Malaysia (MASTIC) MOSTI bagi keputusan SPM 2023 yang lalu, yang telah menunjukkan penurunan jumlah pelajar yang menduduki subjek Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi dalam tempoh (6) tahun.

Sehubungan itu, MOSTI komited untuk menggembleng tenaga dan usaha bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam membudayakan STI melalui program-program pembudayaan STI di luar bilik darjah yang berterusan kepada kumpulan sasaran khususnya kanak-kanak dan pelajar di peringkat bangku sekolah melalui program MSN dalam memperkasakan agenda STEM Negara. 

minggu sains negara 2024

Pelaksanaan Karnival Minggu Sains Negara 2024 akan diteruskan secara fizikal dan bersasar di beberapa Negeri dengan pelaksanaan Karnival MSN 2024 yang pertama dilaksanakan di Pusat Sains Negara. Antara negeri yang akan turut menganjurkan Karnival MSN 2024 kelak adalah Negeri Perlis, Perak, Pulau Pinang, Kelantan, dan Putrajaya.

Justeru, MSN 2024 akan berlangsung di seluruh negara secara hibrid melibatkan penganjuran secara karnival dan juga aktiviti dalam talian sehingga bulan Oktober 2024 bagi memaksimakan penglibatan dan penyertaan dalam kalangan masyarakat. 

minggu sains negara 2024

Bertemakan “Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi dan Mengarusperdanakan Inovasi”, MSN tahun ini mensasarkan penglibatan sebanyak 600,000 pelajar sekolah, penuntut institut pengajian tinggi serta masyarakat umum

Oleh yang demikian, seluruh rakyat Malaysia dijemput untuk bersama-sama memeriahkan Karnival Minggu Sains Negara 2024 yang akan dianjurkan serta mengikuti program-program berteraskan STI yang telah disediakan secara dalam talian. Pelbagai aktiviti dan pertandingan boleh diikuti menerusi platform MSN 2024 di minggusainsnegara.mosti.gov.my.

Nurul Naqiyah