Siakap Keli

Tiada Kompromi Anggota Yang Terlibat Isu Integriti

Tiada Kompromi Anggota Yang Terlibat Isu Integriti

PUTRAJAYA, 13 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggotanya yang terlibat dengan isu integriti. 

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim berkata, Maritim Malaysia memandang serius setiap laporan dan aduan yang diterima dan akan menjalankan siasatan terperinci seterusnya mengambil tindakan tegas kepada warganya yang didapati bersalah. 

Jelas beliau, usaha berterusan akan dilakukan pihaknya melalui Unit Integriti Maritim Malaysia bagi memperkukuh nilai integriti dalam kalangan warga kerja Agensi ini melalui program latihan dan kesedaran yang berterusan. 

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Maritim Malaysia berikutan laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) melalui media tempatan hari ini yang melaporkan tentang aduan yang diterima membabitkan Maritim Malaysia. 

Berdasarkan laporan berita yang dikeluarkan pada hari ini, sebanyak 16 kes berkaitan Agensi ini telah direkodkan. Hasil semakan, antara kes aduan yang dilaporkan melibatkan beberapa isu seperti salah guna kuasa, pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) serta tidak terkecuali isu-isu peribadi. 

isu integriti

Datuk Saiful turut berkata, Maritim Malaysia kini giat melaksanakan inisiatif di bawah Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) dan Agensi juga turut dalam pelaksanaan ke arah pensijilan MS ISO 37001 Anti Bribery Management System (ABMS). 

Selain itu, Maritim Malaysia juga turut melaksanakan tindakan preventive dengan mengadakan program pengukuhan integriti kepada warga seperti Kursus Pengukuhan Integriti, Program Kesedaran Keberhutangan Serius, Program Jelajah dan Bicara Integriti di Peringkat Ibu Pejabat, Maritim Negeri dan Zon Maritim serta melaksanakan Kempen Kesedaran Integriti melalui penerbitan poster, risalah dan jurnal. 

Antara penambahbaikan yang akan dibuat dalam memastikan tiada pelanggaran SOP ketika melaksanakan tugas adalah pemakaian body worn camera kepada semua anggota yang bertugas di lapangan. Ini memerlukan sedikit masa selepas proses perolehan peralatan tersebut berjaya dilaksanakan Agensi ini.

Ujar beliau lagi, mekanisme penyaluran aduan bakal diperkemaskan lagi melalui Polisi Perlindungan Pemberi Maklumat (Whistleblowing) bagi memudahkan penyaluran maklumat berkaitan salah laku integriti dapat dilakukan dengan identiti pengadu dijaga sebaiknya. 

Dalam pada itu Datuk Saiful turut menyeru kepada semua warga Maritim Malaysia untuk terus berpegang teguh kepada prinsip integriti dan profesionalisme dalam melaksanakan tugas harian kerana integriti merupakan teras kepada keberkesanan perkhidmatan awam dan keselamatan negara khususnya di Zon Maritim Malaysia. 

Orang awam juga boleh melaporkan sebarang maklumat berkaitan salah laku di kalangan anggota Maritim Malaysia menerusi Saluran Aduan Integriti Maritim Malaysia iaitu 03-89957053 waktu pejabat atau boleh menggunakan saluran whatsapp Unit Integriti Maritim Malaysia di talian 011-35577285. 

Nurul Naqiyah