Siakap Keli
skuasy juara berpasukan asia
Gambar: SRAM

Skuasy: Malaysia Sapu Bersih Gelaran Juara Berpasukan Asia 

Skuasy: Malaysia Sapu Bersih Gelaran Juara Berpasukan Asia 

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) — Malaysia mendominasi perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia 2024 dengan menyapu bersih kedua-dua gelaran berpasukan lelaki dan wanita di Dalian, wilayah Liaoning, China, hari ini.

Pasukan wanita negara berjaya merampas kembali kejuaraan dengan menumbangkan juara bertahan Hong Kong 2-0.

Ratu skuasy wanita negara N.Sivasangari memulakan rentak kemenangan Malaysia  dengan menyumbang mata pertama dengan mengatasi Ho Tze Lok, dalam pertarungan lima set, menurut laman sesawang  https://worldsquash.tv/sportitem/6644bb3a2573fe036b95bd57.

Pemain nombor 10 dunia dan juara Sukan Asia Hangzhou 2022, Sivasangari mencatatkan kebangkitan menakjubkan selepas ketinggalan set pertama untuk menang 3-2 (10-12, 13-11, 11-6, 10-12, 11-8).

Perseorangan kedua negara Rachel Arnold jelas meneruskan momentum kemenangan untuk mengesahkan kemenangan mutlak apabila mengecewakan Tong Tsz  Wing 3-0 (11-6, 11-5, 11-8).

BACA: Gagal Layak Ke Olimpik 2024, Shin Tae-yong Azam Bawa Indonesia Ke Piala Dunia 2026

Kemenangan yang memberangsangkan ini mengesahkan dendam manis Malaysia terhadap Hong Kong yang telah memusnahkan harapan mereka untuk gelaran berturut-turut pada final 2022.

Jurulatih kebangsaan Shahril Shahidan memuji ketabahan Sivasangari dan menyerlahkan fokus dan ketenangan Rachel pada perlawanan akhir.

“Sivasangari mencipta kebangkitan yang baik…ia adalah perlawanan naik-turun untuknya hari ini, terutama apabila memperagakan aksi santai. Pada set terakhir, dia ketinggalan 7-2 tetapi selepas itu dia bermain dengan sangat baik.

“Rachel menampilkan aksi terbaik dan memberi tumpuan selepas mendahului 1-0. Kami tidak menjangka Tong tidak bermain dengan baik kerana mungkin tertekan untuk menang,” katanya.

Sementara itu, skuad lelaki negara mencetuskan keterujaan dengan mengetepikan Hong Kong 2-1.

Pemain nombor satu negara Ng Eain Yow memulakan perlawanan akhir dengan cemerlang apabila menewaskan Lau Tsz Kwan 3-0 (11-7, 11-8, 11-8) tetapi kedudukan kemudian terikat 1-1 selepas Addeen Idrakie tewas kepada Henry Leung 1-3 (11-4, 7-11, 2-11, 7-11).

Bagaimanapun, pemain nombor 130 dunia, Ameeshenraj Chandaran muncul wira negara apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan pemain nombor 88 dunia Tang Ming Hong 3-1 (8-11, 11-8, 11-6, 11-4).

Ia merupakan gelaran kedua yang diraih skuad lelaki negara dalam tiga edisi terakhir selepas muncul juara pada 2021.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?