Siakap Keli
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar
Sumber: Astro Awani

Sempat Berwukuf, Seorang Lagi Jemaah Malaysia Meninggal Dunia Di Tanah Suci

Sempat Berwukuf, Seorang Lagi Jemaah Malaysia Meninggal Dunia Di Tanah Suci

Selepas berwukuf, seorang lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci, menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal dunia setakat ini sebanyak lapan orang.

Jemaah kelapan yang meninggal dunia ialah Sapiah Jalil, 66, dari Sungai Buloh, Selangor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, memaklumkan bahawa Sapiah meninggal dunia akibat serangan jantung.

“Allahyarham sebelum itu ke sebuah pasar raya dan terkena serangan jantung di situ. Beliau meninggal dunia pada 4.30 petang, 16 Jun (Ahad).

“Allahyarham ke sini menunaikan haji bersama seorang kawan dan beliau ialah jemaah daripada Pengelola Jemaah Haji (PJH), yang dilesenkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH), ” kata beliau.

Menurut beliau, Allahyarham sempat berwukuf pada 9 Zulhijjah, dan bukan pesakit dalam senarai program “Safari Wukuf”.

Sebelum itu, Mohd Na’im telah melawat Pusat Rawatan TH Mekah di Syisha dan menemui beberapa pesakit yang dirawat di sana. Dengan kematian terbaru ini, jumlah jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Tanah Suci kini ialah seramai lapan orang.

Dalam perkembangan sama, rakan Allahyarham dikhabarkan telah memaklumkan berita kematiannya kepada waris di Malaysia.

BACA: Kuota Haji Malaysia 2024 Sebanyak 31,600 Orang Jemaah

Sebelumnya, dilaporkan tujuh kematian jemaah haji negara, iaitu yang pertama ialah Abnil Hajar Ismail, 72, dari Kedah yang meninggal dunia pada 24 Mei lepas.

Manakala, Mohd Zahir Ismail, 58, meninggal dunia pada 29 Mei akibat serangan jantung semasa tawaf umrah pertama.

Pada 7 Jun lalu, dua lagi jemaah Malaysia meninggal dunia ialah Ghazali Ahmad, 71, dari Kedah, dan Noormadiah Mat Ali, 53, dari Terengganu, masing-masing akibat kegagalan buah pinggang dan sumbatan pembuluh darah di perut serta jangkitan kuman pada paru-paru.

Pada 10 Jun, jemaah muda, Zuraida Mohd Haris, 37, meninggal dunia di Hospital King Abdulaziz selepas mengalami pendarahan otak dan tidak sedarkan diri selama enam hari.

Sementara itu, dua jemaah lelaki Baharuddin Mohd Shood, 75, dari Jengka, Pahang, meninggal dunia pada 11 Jun akibat kanser usus yang merebak ke sistem hempedu, dan Abdul Manaf Hanapiah, dari Alor Setar, Kedah, meninggal dunia pada 13 Jun akibat serangan jantung di Pusat Perubatan Mekah.

“Tabung Haji (TH) akan membuat badal haji kepada kesemua jemaah haji yang meninggal dunia ini dengan kosnya ditanggung oleh Tabung Kebajikan Jemaah Haji Malaysia,” tambah Mohd Na’im.

Dilaporkan, kesemua jemaah haji Malaysia dikebumikan sama ada di Tanah Perkuburan Shuhada Al-Haram atau Tanah Perkuburan Sharayaa, Mekah.

Dalam pada itu, kuota jemaah haji Malaysia tahun ini yang diberikan oleh Arab Saudi ialah seramai 31,600 orang, dan selesai melaksanakan rukuh haji iaitu berwukuf.

Wukuf di Arafah pada tahun ini jatuh pada 9 Zulhijjah bersamaan dengan 15 Jun (Sabtu), iaitu kemuncak musim panas di Arab Saudi.

BACA: Jemaah Umrah Malaysia Meninggal Dunia Dalam Penerbangan Dubai-KL

BACA: Jemaah Haji Malaysia Meninggal Dunia Ketika Tawaf

Sumber: Astro Awani

Sharifah Hannah Adibah