Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Projek Aerotrain KLIA Dijangka Siap Lebih Awal Menjelang 31 Jan, 2025 – MAHB

Projek Aerotrain KLIA Dijangka Siap Lebih Awal Menjelang 31 Jan, 2025 – MAHB

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) — Projek Penggantian Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijadual siap lebih awal menjelang 31 Jan, 2025, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Dalam kenyataan hari ini, MAHB berkata jangkaan itu adalah dua bulan lebih awal daripada tarikh asal siap pada 31 Mac, 2025.

Pengendali lapangan terbang itu berkata garis masa yang dipercepat telah dimuktamadkan menerusi kontrak yang dimeterai pada 14 Jun, 2024, membabitkan Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MA Sepang) dan usaha sama merangkumi IJM Construction Sdn Bhd dan Pestech Technology Sdn Bhd (IJMC-Pestech JV).

MA Sepang adalah anak syarikat milik penuh MAHB and Alstom Transport Systems (Malaysia) Sdn Bhd (Alstom).

“Sebagai pihak utama penyelarasan projek, Alstom akan memantau penghantaran tiga tren baharu, menaik taraf dua laluan dan pengujian komprehensif secara menyeluruh yang diperlukan bagi keselamatan operasi,” katanya.

MAHB berkata berdasarkan garis masa projek, tren aero baharu itu dijangka tiba di Malaysia dari China menjelang akhir suku ketiga tahun ini.

“Aerotrain berkenaan kemudiannya akan melalui proses pengoperasian dan pentauliahan serta ujian ketat oleh pihak berkuasa berkaitan sebelum dapat beroperasi secara rasmi,” katanya.

Pada Mac 2022, MAHB mengumumkan telah menganugerahkan Projek Penggantian Aerotrain KLIA, yang mempunyai garis masa untuk disiapkan selama tiga tahun.

BACA: Boleh Dimakan, Ketahui Fakta Menarik Semut Madu

Bagaimanapun, projek berkenaan mengalami kelewatan dan disusuli dengan penganugerahan projek baharu pada Januari 2024 kepada konsortium merangkumi Alstom, pengeluar peralatan asal Aerotrain dan JMC-Pestech JV untuk mengemudi projek itu agar kembali kembali ke landasan asal.

“Walaupun ada halangan ini, MAHB dan rakan kongsi projeknya bekerjasama secara berkesan untuk mencapai tarikh siap lebih awal daripada jadual asal dengan melaksanakan strategi inovatif dan pengurusan projek yang cekap,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB Mohamed Rastam Shahrom menyifatkan penyiapan projek lebih awal daripada tarikh asal, sebagai bukti komitmen berterusan untuk meningkatkan pengalaman penumpang.

“Kemajuan sedemikian tidak hanya menangani keperluan operasi yang segera, tetapi turut memperkukuh kedudukan KLIA sebagai hab pengangkutan utama di rantau ini dengan menyediakan perkhidmatan dan prasarana bertaraf dunia kepada para pelanggan,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?