Siakap Keli
negara ahli brics
Kredit: AFP

Kenali Kumpulan BRICS, Siapa Pengasas & Negara Mana Jadi Ahli

Kenali Kumpulan BRICS, Siapa Pengasas & Negara Mana Jadi Ahli

Baru-baru ini, media tempatan melaporkan bahawa Malaysia berhasrat untuk menyertai satu kumpulan ekonomi yang dikenali sebagai BRICS.

Bagi sesetangah pihak, ini mungkin adalah kali pertama mereka mendengar istilah BRICS. Lalu disini timbulah pelbagai pertanyaan berkenaan kumpulan ekonomi tersebut.

Apakah yang dimaksudkan dengan BRICS? Siapakah pengasas dan siapakah pula ahli semasanya?

Jadi kali ini kami di SK hendak berkongsi dengan anda semua beberapa informasi menarik mengenai BRICS.

BRICS bermula sebagai BRIC dahulu dan ini negara ahli

Menurut BBC, empat buah negara iaitu Brazil, Rusia, India dan China sepakat untuk menubuhkan satu pakatan yang dinamakan sebagai BRIC pada 2006.

Secara umumnya, nama BRIC itu dibina menggunakan huruf pertama setiap nama negara awal yang ada dalam pakatan tersebut.

Kemudian pada 2010, Afrika Selatan membuat keputusan untuk menyertai gabungan tersebut dan tertubuhlah BRICS.

Seiring peredaran waktu, BRICS telah menjemput Mesir, Ethiopia, Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu untuk menyertai pakatan tersebut.

Menurut BBC lagi, keahlian negara-negara tersebut dalam pakatan berkenaan berkuat kuasa bermula 1 Januari 2024.

Bagaimanapun pada pertengahan Januari lalu, seorang menteri dalam kerajaan Arab Saudi memberitahu negaranya belum lagi menyertai pakatan tersebut.

Argentina juga turut dijemput untuk menyertai BRICS namun keputusan untuk menarik diri dibuat pada 23 Disember 2023 selepas Javier Milei dilantik menjadi Presiden negara itu.

Tujuan penubuhan BRICS

Di peringkat awal, penubuhan BRICS bertujuan untuk menyatukan negara-negara membangun yang paling penting di dunia dan mencabar kuasa politik serta ekonomi negara-negara kaya di Amerika Utara dan Eropah Barat.

BRICS juga mahu negara-negara ekonomi baru muncul mempunyai lebih banyak pengaruh dalam politik antarabangsa.

Kenapa BRICS penting?

Pertamanya, BRICS dianggotai oleh dua kuasa besar dunia iaitu China dan Rusia, manakala Afrika Selatan, Brazil dan India adalah negara-negara yang berpengaruh di benua masing-masing.

Kedua, BRICS mewakili saiz pasaran yang sangat luas. Populasi BRICS jika digabungkan adalah berjumlah kira-kira 3.5 bilion atau 45 peratus daripada penduduk dunia.

Ketiga apabila digabungkan, kuasa ekonomi semua ahlinya melebihi USD28.5 trilion atau bersamaan kira-kira 28 peratus ekonomi global.

Keempat, dengan penyertaan negara-negara seperti Iran, Arab Saudi dan UAE, negara-negara BRICS juga akan menjadi pengeluar kira-kira 44 peratus minyak mentah dunia.

BRICS turut tubuhkan bank dana sendiri

Walaupun BRICS mempunyai taring, namun negara-negara Barat masih mendomonasi pelbagai badan penting di peringkat global seperti Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia.

Kedua-dua badan global ini antara lain bertanggungjawab memberi pinjaman kepada banyak negara di dunia ini.

Jadi, BRICS bertindak menubuhkan Bank Pembangunan Baru yang antara tujuannya adalah memberi pinjaman kepada negara-negara untuk membangun infrastruktur masing-masing.

Setakat 2022, bank tersebut dilapor sudah meminjamkan kira-kira USD32 bilion kepada negara-negara membangun untuk pelbagai projek.

Antaranya untuk membina jalan raya, jambatan, kereta api dan projek bekalan air baharu.

Setiap wakil BRICS dipercayai mempunyai tujuan yang berbeza

Seorang profesor dari Trinity College Dublin, Padraig Carmody berkata setiap negara yang menjadi ahli BRIC mungkin mempunyai tujuan yang berbeza-beza.

Misalnya China mungkin cuba mengembangkan kuasa dan pengaruhnya melalui BRICS, lebih-lebih ke atas negara-negara di Afrika.

“Melalui BRICS, China mungkin cuba mengembangkan kuasa dan pengaruhnya, terutamanya terhadap negara-negara di Afrika. China mungkin mahu menjadi suara utama untuk Selatan Global,” katanya.

Manakala seorang pemikir di Chatham House, Creon Butler juga berpendapat Rusia juga mungkin ada sasaran tersendiri.

“Rusia mungkin melihat BRICS sebagai sebahagian daripada cara untuk berdepan dengan Barat dan dapat membantu mengatasi sekatan yang dihadapi,” kata Butler

Adakah mata wang BRICS akan menggantikan mata wang dolar?

Seperti yang semua sedia maklum, perdagangan global dijalankan dalam matawang Dollar Amerika Syarikat.

Justeru, ada pemimpin-pemimpin BRICS seperti Brazil dan Rusia yang mencadangkan pengenalan matawang BRICS untuk mengurangkan domonasi Dollar.

Bagaimanapun menurut BBC, perkara berkenaan tidak dibincangkan dalam persidangan BRICS yang berlangsung pada 2023.

Sementara itu, ahli ekonomi berpendapat adalah tidak praktikal untuk negara-negara BRICS mencipta satu matawang yang sama kerana sistem ekonomi setiap negara ahlinya sangat berbeza.

Namun, ada kemungkinan BRICS akan mencipta satu matawang baharu atau matawang kripto untuk digunakan sebagai bayaran dalam aktiviti perdagangan antarabangsa.

BACA: Bernilai RM15.75 Trilion, Nvidia Atasi Microsoft Jadi Syarikat Paling Berharga Di Dunia

Sumber: BBC

Athirah

When nothing goes right, go left.